DNB dijangka buka tender 5G tidak lama lagi - MCMC | DagangNews Skip to main content

DNB dijangka buka tender 5G tidak lama lagi - MCMC

 

 

KUALA LUMPUR 9 April - Tender untuk pembangunan infrastruktur 5G yang dianggarkan bernilai RM15 bilion dijangka diumumkan Digital Nasional Berhad (DNB) tidak lama lagi, menurut Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek seperti dilapor Bernama. 

 

“Saya percaya ia akan dibuka tidak lama lagi, tetapi bukan MCMC untuk menyatakannya, sebaliknya DNB akan mengeluarkan kenyataan sewajarnya,” katanya pada Persidangan Pelabur RHB hari ini. 

 

Katanya, DNB, syarikat tujuan khas (SPV) yang akan melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh negara bertanggungjawab untuk pemilihan tender. 

 

Beliau berkata, perkhidmatan komersial 5G boleh didapati pada suku keempat 2021.

 

Bahkan, beliau juga menyifatkan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang dibangunkan untuk memberikan liputan yang lebih luas dan kualiti pengalaman jalur lebar yang lebih baik selain mempersiapkan negara ke arah teknologi 5G dilihat berada di landasan yang tepat untuk aspirasi dan sasarannya.

 

Aspirasi nasional Jendela ialah sembilan juta premis dilengkapi kelajuan melebihi 100Mbps menerusi pelaksanaan 5G dan liputan 4G sebanyak 100 peratus di kawasan berpenduduk menjelang 2025.

 

Menurut Fadlullah, 5G berpotensi untuk mewujudkan 105,000 pekerjaan baharu dan penggunaan teknologi dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing yang berkemahiran rendah.

 

“Matlamat kami ialah mempunyai rangkaian 5G yang selamat, berdaya tahan dan kukuh serta dapat mengupayakan aplikasi Internet of Things (IoT), Kecerdasan Buatan (AI) dan pembelajaran mesin.

 

“Dengan 5G, kita dapat meningkatkan daya saing industri dan memberi perkhidmatan kepada rakyat, syarikat dan kerajaan dengan lebih baik,” katanya. 

 

Beliau berkata, 5G penting kepada ekonomi yang akan memastikan daya saing digital Malaysia. - DagangNews.com