DNeX lancar aplikasi kewangan dan perakaunan berasaskan awan baharu untuk agensi kerajaan | DagangNews Skip to main content

DNeX lancar aplikasi kewangan dan perakaunan berasaskan awan baharu untuk agensi kerajaan

Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (kiri) bersama Akauntan Negara, Datuk Dr. Yacob Mustafa semasa majlis pelancaran sistem itu di Kota Kinabalu.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Jun - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) menerusi anak syarikatnya, Innovation Associates Consulting Sdn. Bhd. (IAC) melancarkan perancangan sumber perusahaan (ERP) untuk Sistem Digital Agensi Kerajaan (EGADS) iaitu aplikasi kewangan dan perakaunan berasaskan awan baharu.

 

EGADS ialah sistem perakaunan berasaskan akruan yang dibina di atas Platform Awan SAP (S/4HANA) terkini yang mematuhi Perakaunan Standard untuk Agensi Kerajaan (SAGA), Pematuhan SAGA Penilaian Kendiri (SASAR) dan Standard Perakaunan Sektor Awam Malaysia (MPSAS).

 

Pengerusi Eksekutif DNeX dan IAC, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, EGADS merupakan aplikasi pertama Malaysia dengan pematuhan SAGA 3.0 yang memanfaatkan SAP S/4HANA dan awan domestik untuk sektor awam.

 

EGADS menawarkan lapan modul utama termasuk Perakaunan, Pengurusan Dana, Kawalan, Pengurusan Bahan, Pengurusan Modal Insan, Pentadbiran Pengguna, Sistem Projek dan Analitik dan Pelaporan.

 

Sistem ini dihoskan secara domestik dan boleh diakses dari mana-mana lokasi, sambil mendayakan model perkhidmatan kongsi melalui langganan untuk mengurangkan kos operasi pengguna dan meningkatkan kecekapan.

 

Beliau berkata, DNeX melalui IAC menjangkakan untuk mengembangkan keupayaan penyepaduan sistemnya dalam mengubah sistem kerjaan daripada tunai kepada sistem perakaunan akruan.

 

dnex

 

“Kami mempunyai potensi untuk memanfaatkan lebih 400 agensi kerajaan untuk menggunakan penyelesaian kami dalam mendigitalkan sistem kewangan dan perakaunan mereka.

 

"Ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Malaysia untuk mempercepatkan inovasi teknologi negara dalam memajukan perkhidmatan dan proses ekonomi digitalnya bagi memacu pendigitalan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sistem itu dilancarkan di Kota Kinabalu semasa Persidangan Agensi Kerajaan Saga (SeGAC) 2023, hari ini.

 

IAC merupakan kontraktor Sistem Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Kerajaan Bersepadu (iGFMAS), sistem perakaunan akruan Kerajaan.

 

EGADS telah menerima pakai amalan terbaik asas akruan untuk membolehkan kebertanggungjawaban dan ketelusan pengurusan sumber sektor awam, sambil membolehkan pengurusan kewangan yang lebih baik melalui pandangan lengkap aset dan liabiliti kerajaan.

 

Dengan EGADS, pengguna boleh memperkasakan agensi dengan penyelesaian kewangan yang berkesan untuk pemprosesan, pelaporan dan pengurusan kewangan. - DagangNews.com