Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Nov - Untung bersih Dagang NeXchange Bhd (DNeX) bagi suku pertama berakhir 30 September 2021 (1QFY22) berjumlah RM293.56 juta, manakala pendapatannya berjumlah RM270.87 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, DNeX berkata tiada angka perbandingan bagi suku pertama disebabkan perubahan pada akhir tahun kewangannya kepada 30 Jun daripada 31 Disember.
Kumpulan itu berkata pendapatannya meningkat sebanyak RM224.97 juta bagi 1QFY22 berbanding dengan 4QFY21 disebabkan penyatuan Ping Petroleum Ltd dan SilTerra Malaysia Sdn Bhd, yang masing-masing menyumbang RM67.27 juta (24%) dan RM148.77 juta (54%).
Mengenai prospeknya, DNeX berkata syarikat optimis bahawa SilTerra akan terus mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan global untuk cip semikonduktor berikutan pertambahan jumlah penggunaan teknologi dalam Industri 4.0, kecerdasan buatan dan Internet of Things.
"Suntikan dana baharu untuk perbelanjaan modal dan penambahbaikan proses baru-baru ini di kilang pembuatan SilTerra telah membawa kepada peningkatan kapasiti pengeluaran dan kecekapan operasi yang lebih tinggi, menghasilkan masa kitaran yang lebih baik.
"Untuk mengukuhkan kemampanan perniagaan SilTerra, kumpulan mengoptimumkan campuran kapasiti dengan memperkemas dan memberi tumpuan kepada pelanggan strategik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kenaikan kukuh harga minyak mentah Brent yang kini didagangkan pada paras melebihi AS$80 setong, akan memanfaatkan Ping yang terlibat dalam pengeluaran minyak dan gas huluan.
“Selaras dengan peningkatan harga minyak, Ping kini meneroka peluang untuk mengewangkan rizab yang menarik dari segi ekonomi dalam Kluster Anasuria yang memiliki jumlah rizab kira-kira 26.6 juta tong minyak setara.
"Dengan pemulihan ekonomi sedang berjalan kumpulan yakin strategi yang dilaksanakan untuk mengembangkan dan mengukuhkan perniagaan terasnya akan membawa kepada prestasi yang lebih baik pada tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2022," katanya. -DagangNews.com