Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Okt. - Syarikat pembungkusan dan perindustrian elektrik dan elektronik (E&E), D'Nonce Technology Bhd. (D'Nonce) komited mampu mencatatkan prestasi yang lebih kukuh sepanjang pengoperasiannya selepas ini.
CGS-CIMB Research berkata, keyakinan syarikat berkenaan dinilai dan dilihat berdasarkan kepada empat faktor yang menjadi pemangkin kepada prestasi yang lebih baik syarikat berkenaan.
Empat faktor yang menjadi penilaian dan sandaran syarikat berkenaan ialah;
- Jumlah permintaan yang tinggi untuk kotak pembungkusan sarung tangan.
- Rancangan pengembangan kapasiti syarikatnnya dalam perniagaan pembungkusan sarung tangan.
- Pemulihan dalam segmen E&E.
- Langkah-langkah pengawalan kos yang berterusan.
D'Nonce mengumumkan jumlah keuntungan bersih syarikatnya berjumlah RM3.8 juta pada suku pertama 2021.
Perubahan trend digitalisasi global semasa juga menyaksikan peningkatan permintaan bagi produk dan perkhidmatan berkaitan IT.
Susulan itu, D'Nonce turut membuat perancangan untuk meningkatkan jumlah pengeluaran produk E&E seperti komponen papan litar bercetak (PCB) dan komponen lain.
Syarikat berkenaan juga menjangkakan pertumbuhan kapasiti dalam segmen penjagaan kesihatan yang menyumbang kepada peningkatan pendapatannya dalam beberapa tahun akan datang.
Jangkaan itu susulan peningkatan permintaan sarung tangan global Top Glove dan Sarung Tangan Sri Trang yang merancang mamperluas kapasiti pengeluaran sarung tangan di Sadao, Thailand.
Berikutan itu, D'Nonce mengumumkan peracangannya secara beransur-ansur untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran di Sadao sebanyak 50% bermula akhir tahun kewangan 2020 dan seterusnya. - DagangNews.com