Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOHa
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Mac. - Platform kesihatan digital pertama dan terbesar di Malaysia, DoctorOnCall mengumumkan kerjasama bersama syarikat insurans dan industri kesihatan dalam memastikan rakyat Malaysia mendapatkan akses digital untuk penjagaan kesihatan dalam tempoh COVID-19 di negara ini.
Pengarah Urusan dan Pengasas Bersama DoctorOnCall, Maran Virumandi berkata,
manfaat terbesar penjagaan kesihatan dalam talian adalah kemampuan untuk memberikan akses segera kepada rawatan yang sebelum ini amat sukar untuk diperoleh.
"Telekesihatan memberikan pilihan alternatif bagi pesakit dan pengamal untuk tetap berhubung untuk mengadakan temujanji atau untuk pesakit menerima lawatan dari pakar yang biasanya tidak dapat mereka lakukan," jelas beliau dalam satu kenyataan.
Great Eastern Life Malaysia dan Great Eastern Takaful Berhad masing-masing merupakan syarikat insurans dan pengendali takaful di Malaysia bekerjasama dengan DoctorOnCall untuk menyenaraikan telekesihatan sebagai faedah pilihan dalam rangkaian produk perubatan.
Dengan kerjasama tersebut, pelanggan bukan sahaja boleh mendapat nasihat perubatan dengan doktor, tetapi juga dapat membeli ubat-ubatan secara dalam talian dengan penghantaran percuma.
Pelanggan juga boleh membuat janji temu dengan doktor pakar untuk konsultasi dalam talian atau di klinik, di samping menempah slot untuk pemeriksaan di rumah seperti ujian COVID-19 dan pemeriksaan kesihatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad, Datuk Koh Yaw Hui berkata, pihaknya berbesar hati mengumumkan kerjasama strategik dengan DoctorOnCall yang membolehkan pihaknya memberi peluang akses penjagaan kesihatan dengan cara yang selamat dan selesa kepada pelanggan.
"Kami sentiasa berusaha sedaya upaya untuk membantu pelanggan kami pada ketika penjagaan kesihatan sangat penting bagi mereka.
"Tambahan pula, pelanggan kami juga dapat menikmati tawaran eksklusif berkaitan kesihatan melalui kerjasama ini," tambah beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Takaful Berhad, Shahrul Azlan Shahriman memberitahu, penyegeraan penggunaan kad kesihatan digital akan meningkatkan aksesibiliti penjagaan kesihatan di kalangan masyarakat yang kurang disantuni terutama di kawasan-kawasan di mana fasiliti kesihatan adalah terhad.
Ujarnya, dengan perkhidmatan telemedicine itu, pihaknya dapat memberikan bantuan kesihatan segera dan lancar untuk memenuhi keperluan pelanggan di luar hospital.
Selain Great Eastern Life Malaysia dan Great Eastern Takaful Berhad, Hospital Thomson Kota Damansara dan Columbia Asia juga telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan DoctorOnCall dalam usaha memberikan akses segera kepada pesakit melalui Platform Kesihatan Digital DoctorOnCall. - DagangNews.com