KUALA LUMPUR 21 Jan. - Ringgit terus mengukuh dalam dagangan pagi ini, dibuka pada RM4.0400/0460 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Semalam, mata wang itu ditutup pada RM4.0430/0470 didorong kenaikan harga minyak dan kelemahan dolar AS yang menyokong ringgit.
Menurut HLIB Research, ringgit ditutup tinggi semalam selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75%.
Keputusan itu menangkis beberapa ramalan penganalisis sebelum ini yang menjangkakan pengurangan OPR dan langkah dasar yang lebih tegas.
"Dalam tempoh terdekat ini, kami mengekalkan prospek neutral kepada mengukuh bagi ringgit/dolar AS.
"Ini disokong oleh pelan rangsangan AS yang lebih positif apabila presiden yang baru dipilih, Joe Biden dijangka memberi pakej yang lebih besar kepada rakyat AS bagi menggerakkan semula ekonomi," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu mengunjurkan ringgit akan berlegar antara RM4.03 hingga RM4.08 berbanding dolar AS sepanjang minggu ini.
Biden mengangkat sumpah sebagai Presiden AS yang ke-46 semalam dan dijangka mengambil langkah-langkah bagi mengawal industri minyak AS.
Selain itu, ia juga termasuklah menyertai semula perjanjian iklim Paris, membatalkan permit saluran minyak Keystone XL dan menghentikan penggerudian di kutub.
Menurut AmBank Research, dolar AS meneruskan kerugian untuk hari kedua, jatuh 0.03% kepada 90.475.
Keyakinan semakin meningkat bahawa pentadbiran Biden akan membentangkan pakej rangsangan bernilai hampir AS$ trilion kepada Kongres yang dilihat akan mendorong pemulihan ekonomi.
"Kami menjangkakan ringgit akan diniagakan hari ini pada paras sokongan antara RM4.0260 dan RM4.0348 manakala paras rintangan antara RM4.0554 dan RM4.0638," katanya. - DagangNews.com