Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 17 Feb. - Ringgit hilang momentum dalam dagangan pagi ini, apabila kembali dibuka lemah pada RM4.0450/0500 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
HLIB Research berkata, dolar AS mengukuh semalaman tetapi harga minyak yang tinggi masih kekal memberi kelebihan kepada ringgit.
Katanya, dolar AS terus mengukuh berbanding mata wang utama yang lain di sebalik peningkatan hasil AS.
"Malah, indeks dolar juga meningkat sederhana kepada 90.51. Oleh itu, kami mengekalkan pandangan neutral kepada lemah bagi dolar AS/ringgit sepanjang minggu ini," katanya dalam nota kajian.
Hasil penanda aras Perbendaharaan 10 tahun AS melonjak 1.31%, tertinggi sejak Februari 2020.
Bagaimanapun, jelas firma itu, harga minyak mentah global diniagakan bercampur-campur di tengah-tengah krisis tenaga di Texas dan beberapa bahagian di AS.
Ini menyaksikan Brent hanya meningkat dalam kadar yang kecil pada AS$63.35 setong manakala minyak AS, West Texas Intermediate (WTI) menokok hampir 1% kepada AS$60.05 setong, katanya.
Pada penutupan semalam, ringgit meningkat kepada RM4.0280/0320 berbanding dolar AS daripada RM4.0320/0370 ketika ditutup pada Isnin.
Kestabilan harga minyak, keyakinan kepada vaksin dan kelonggaran perintah kawalan pergerakan (PKP) secara berperingkat yang dijangka berlaku mengubah minat pelabur kepada aset lebih berisiko.
AmBank Research berkata, mata wang tempatan semalam mengukuh untuk hari keenam berturut-turut meningkat 0.15%, tertinggi sejak 6 Januari lalu.
"Kami menjangkakan ringgit diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0135 dan RM4.0205 manakala paras rintangan ditambat pada RM4.0445 dan 4.0557," katanya. - DagangNews.com