Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Mac - Ringgit meneruskan aliran menurun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan mata wang itu dijangka semakin mengukuh dalam dagangan minggu ini.
Pagi ini, mata wang itu dibuka pada RM4.1460/1500, lebih rendah daripada penutupan Jumaat pada RM4.1445/1485 berbanding dolar AS.
HLIB Research berkata, ringgit dijangka terus melemah sepanjang minggu ini dengan berlegar pada julat antara RM4.13 hingga RM4.18.
Katanya, prospek dolar AS akan terus mengukuh menjadikan ringgit semakin merosot.
"Dagangan dolar AS/ringgit ketika ini sudah mengalami lebih belian yang mungkin membawa kepada sedikit pengukuhan.
"Indikator menunjukkan momentum yang positif ini masih mempunyai ruang untuk dolar AS naik lebih tinggi," katanya dalam nota kajian.
Menurutnya, dolar AS berdaya tahan pada Jumaat lalu dengan indeksnya turun sedikit sebanyak 0.09% di sebalik data ekonomi yang positif dan juga program vaksin COVID-19.
Sementara itu, dalam aliran dana kewangan mingguan, MIDF Research berkata, ringgit menyusut minggu lalu disebabkan penghindaran risiko.
Jelas firma itu, pengukuhan dolar AS menyaksikan ringgit susut sehingga -0.9% dan ditutup pada RM4.147, paras terendah sejak November 2020, berbanding RM4.110 bagi minggu sebelumnya.
"Ini disebabkan penghindaran risiko dalam kalangan pelabur yang menyebabkan permintaan bagi mata wang serantau semakin berkurangan termasuklah ringgit," katanya. - DagangNews.com