Dolar AS terus 'tekan' ringgit | DagangNews Skip to main content

Dolar AS terus 'tekan' ringgit

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 Mac - Kekuatan dolar Amerika Syarikat (AS) terus menekan ringgit apabila unit mata wang tempatan itu semakin merosot dalam dagangan pagi ini. 

 

Ringgit dibuka pada RM4.1180/1230 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada penutupan semalam pada RM4.1050/1100.

 

HLIB Research menjangkakan sentimen lemah akan berterusan dalam dagangan ringgit hari ini setelah mata wang itu melepasi unjuran julat mingguan firma itu pada RM4.09. 

 

"Ini berikutan dolar AS terus mengukuh dalam pasaran yang lebih meluas dan diniagakan tinggi semalam. 

 

"Kami kini menjangkakan paras rintangan ringgit pada RM4.12 sebelum meletakkan sasaran pada RM4.1350," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS berikutan sentimen lemah di tengah-tengah pengukuhan mata wang AS berikutan beberapa faktor terutama berkaitan dengan dasar Rizab Persekutuan AS yang sangat mempengaruhi dolar AS. 

 

Sementara itu, AmBank Research berkata, ringgit semalam ditutup pada paras terendah sejak November 2020. 

 

Katanya, dolar AS terus mengukuh 4 hari berturut-turut meningkat 0.37% kepada 92.313, tertinggi dalam tempoh dua bulan setengan selepas Senat AS meluluskan rang undang-undang menangani COVID-19 bernilai AS$1.9 trilion, Sabtu lalu. 

 

Harga minyak mula kembali menyusut setelah mencecah paras tertinggi lebih setahun, dengan Brent susut 1.61% kepada AS$68.24 setong manakala West Texas Intermediate jatuh 1.57% kepada AS$65.05 setong di sebalik tragedi serangan peluru berpandu yang menimpa kemudahan pengeluaran minyak Arab Saudi. - DagangNews.com