DPMM gesa kerajaan lebih tegas tangani pencerobohan asing di Beting Patinggi Ali | DagangNews Skip to main content

DPMM gesa kerajaan lebih tegas tangani pencerobohan asing di Beting Patinggi Ali

Kapal peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membayangi sebuah kapal peronda China yang belayar di perairan Beting Patinggi Ali.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 11 Jan - Kerajaan Malaysia digesa menambah kapasiti penguat kuasa maritim termasuk membeli lebih banyak aset strategik bagi memperhebatkan keupayaan taktikal dalam mendepani isu pencerobohan asing ke atas perairan negara.

 

Membangkitkan isu pencerobohan berterusan di Beting Patinggi Ali dan Laut China Selatan, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berkata, pemerkasaan keupayaan penguat kuasa maritim negara mampu menjadi satu bentuk pencegahan.

 

"Malaysia sebagai sebuah negara maritim dengan lebih 80 peratus muka buminya di Semenanjung serta Wilayah Sabah dan Sarawak adalah pesisir amat memerlukan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan.

 

"Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar mengambil tindakan pencegahan dengan menambah kapasiti penguatkuasaan maritim Malaysia khususnya dari aspek tenaga manusia dan pembelian aset-aset strategik," kata Setiausaha Agung DPMM, Ahmad Yazid Othman.

 

ali
Kedudukan Beting Patinggi Ali yang terletak kira-kira 155 kilometer dari pantai Miri, berbanding lebih 2,000 km dari tanah besar China.

 

Berhubung tindak-tanduk China di Laut China Selatan, Ahmad Yazid berkata, DPMM menggesa agar hal ini dapat dibawa ke meja rundingan peringkat ketua-ketua negara ASEAN dalam masa terdekat.

 

Katanya, ini bagi mendesak China menghormati kedaulatan negara-negara ASEAN dan menghentikan provokasi mereka serta-merta.

 

"Kebiadaban China bukan sahaja telah mengguris perasaan Malaysia, tetapi mereka dilaporkan turut melakukan perkara serupa di perairan negara anggota ASEAN yang lain," tegasnya.

 

Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan terhadap bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang sebelum ini menegaskan Beting Patinggi Ali adalah milik Malaysia dan tidak akan mengiktiraf apa jua tuntutan daripada pihak lain.

 

"Kami berharap tindakan ketegasan ini akan dapat dipertingkatkan lagi di bawah seliaan Menteri Pertahanan yang baru dilantik (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin)," katanya.

 

yazid
Setiausaha Agung DPMM, Ahmad Yazid Othman.

 

Menurut Ahmad Yazid, pencerobohan kapal pihak berkuasa China seperti yang telah direkodkan sebanyak 89 kali di antara tahun 2016 hingga 2019 yang kebanyakannya berlaku di Beting Patinggi Ali merupakan satu bentuk provokatif oleh sebuah negara yang bersikap 'abang besar'.

 

Sedangkan kata beliau, negara-negara anggota ASEAN atas semangat setia kawan sentiasa menghormati kedaulatan negara tetangga dan tidak sewenangnya meneceroboh walaupun terdapat kawasan-kawasan panas yang menjadi rebutan.

 

"Tindakan tidak beradab China ibarat 'abang besar' yang mahu menguasai sumber daya ini nampaknya semakin tidak terkawal dan berpotensi mewujudkan krisis diplomatik berpanjangan jika tidak ditangani segera," jelas beliau.

 

Kata Ahmad Yazid, pada awal Disember 2023, Petronas telah mengumumkan kejayaan eksplorasi minyak dan gas di pesisir Sarawak dan Sabah dengan sasaran penghasilan lebih satu bilion tong minyak mentah.

 

"Kekerapan kehadiran kapal-kapal peronda asing China hampir setiap hari bagaimanapun telah merencatkan usaha di samping memberi tekanan yang tidak sepatutnya kepada Petronas termasuklah vendor-vendor tempatan yang terlibat untuk meneruskan kerja-kerja mereka tanpa sebarang gangguan," kata Setiausaha Agung DPMM itu.

 

Ahmad Yazid turut menegaskan adalah tidak munasabah dari segi geografi untuk China menuntut Beting Patinggi Ali yang dinamakan sempena nama pemimpin masyarakat Melayu Sarawak itu.

 

Katanya, ini kerana kedudukan pulau kecil itu yang juga dipanggil Beting Raja Jarum dan Luconia Shoal hanyalah 155 kilometer dari pantai Miri berbanding lebih 2,000 kilometer dari tanah besar China.

 

"Tambahan lagi jika dirujuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982), negara berpantai berhak menuntut kawasan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) sehingga 200 batu nautika, sekali gus meletakkan kawasan Beting Patinggi Ali yang berada di perairan Sarawak sebagai hak milik muktamad dan ZEE Malaysia," ujarnya. - DagangNews.com