DPS Resources, Mutiara Mahajuta meterai usaha sama bangunkan tanah 76.9 hektar di Melaka | DagangNews Skip to main content

DPS Resources, Mutiara Mahajuta meterai usaha sama bangunkan tanah 76.9 hektar di Melaka

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Nov - DPS Resources Bhd dan Mutiara Mahajuta Sdn Bhd, melalui anak syarikat DPS Energy Sdn Bhd (DPSE), telah memeterai perjanjian usaha sama (JVA) dengan Mutiara Mahajuta Sdn Bhd untuk sebidang tanah seluas 76.9 hektar di Melaka.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, DPS Resources berkata kerjasama ini melibatkan projek perintis yang merangkumi agropelancongan, tanaman, bioladang, tenaga boleh diperbaharui, ladang solar dan akuafonik.

 

Menurut syarikat hartanah tersebut, tanah di Mukim Bukit Apit II, Daerah Alor Gajah ini bebas daripada bebanan dan mempunyai kategori penggunaan tanah pertanian, serta bersedia untuk menjadi asas pembangunan mampan di rantau ini.

 

Pengerusi Eksekutif DPS Resources, Tan Sri Sow Chin Chuan berkata kerjasama dengan Mutiara Mahajuta adalah sebahagian daripada strategi meluas kumpulan untuk memanfaatkan bank tanahnya.

 

“Kami menyasarkan untuk memanfaatkan potensi tanah ini, yang kami unjurkan untuk potensi nilai pembangunan kasar sekitar RM6 bilion.

 

“Kami juga sedang berunding untuk mendapatkan tanah yang mengelilingi projek, di mana ia akan mengembangkan simpanan tanah kami,” katanya.

 

DPS Resources akan bertanggungjawab ke atas pengurusan projek dan memperuntukkan keuntungan bersih pada nisbah 65% untuk DPSE dan 35% untuk Mutiara Mahajuta, yang akan mengagihkan semula bahagiannya kepada pemilik tanah individu.

 

“Pada masa ini, kami terlibat dalam perbincangan dengan bakal pelabur dan rakan kongsi, yang terkenal dengan kepakaran mereka dalam tenaga hijau dan perkhidmatan kejuruteraan.

 

“Kerjasama kami direka untuk memaksimumkan potensi tanah mereka, memastikan rakan kongsi kami dapat memanfaatkan sepenuhnya sumber mereka,” tambahnya.

 

Sow berkata inisiatif tersebut menunjukkan komitmen DPS Resources untuk mewujudkan sinergi melalui perkongsian yang pelbagai, yang meletakkan asas untuk pertumbuhan mampan dan pembangunan komuniti.

 

Di samping itu, beliau berpendapat bahawa projek ini akan meningkatkan dengan ketara pendapatan masa depan dan daya tahan kewangan syarikat, selain bersedia untuk memberikan sumbangan yang besar kepada pasaran tenaga hijau negara dan mencapai objektif alam sekitar, sosial dan tadbir urus.   - DagangNews.com