Dron CW-25D gandakan kekuatan perisikan Tentera Darat, jadi sebahagian aset baharu bernilai RM96.3 juta | DagangNews Skip to main content

Dron CW-25D gandakan kekuatan perisikan Tentera Darat, jadi sebahagian aset baharu bernilai RM96.3 juta

Penerimaan dron CW-25D dapat meningkatkan keupayaan risikan TD.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 1 Nov - Kemampuan Tentera Darat (TD) diperkasakan apabila menerima lagi aset-aset baharu menerusi rancangan perolehanan yang telah dibuat sebelum ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM96.3 juta.

 

Ia membabitkan 661 unit aset meliputi persenjataan, kenderaan, kelengkapan bantuan operasi, perkakasan elektronik dan logistik.

 

Ini merupakan perolehan untuk suku ketiga pada tahun ini yang mana perolehan aset baharu sebelumnya telah diterima pada Mac dan Jun lalu.

 

Perolehan aset baharu ini juga memperlihatkan TD mengikut kehendak operasi dan taktik peperangan semasa apabila menerima enam dron bagi perisikan dari udara.

 

Dron
Penggunaan dron CW-25D menyaksikan pembangunan TD selari dengan kehendak operasi masa kini.

 

Dron jenis CW-25D dibangunkan dan direka di China oleh syarikat JOUAV manakala pemasangan dilakukan oleh syarikat tempatan, Malvus Sense Sdn. Bhd.

 

Ia pernah dipertontonkan kepada umum semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) di Kuala Lumpur tahun lalu.

 

CW-25D ialah platform dron hibrid menggunakan tenaga bateri dan petrol serta boleh terbang pada ketinggian 4,000 meter dengan kelajuan 65 kilometer sejam.

 

Dengan penggunaan dron tersebut dapat meningkatkan keupayaan tinjauan dan risikan dari udara lebih meluas.

 

Trak

 

Sov
Muhammad Hafizuddeain melihat lebih dekat kenderaan SOV yang diterima.

 

Turut sama dibekalkan kepada TD ialah 2 buah kenderaan kawalan dan pemerintahan.

 

Bagi aset kenderaan pula, TD menerima trak 3 tan GS kargo buatan Deftech, kenderaan pembawa senjata pelancar grenad dan kenderaan operasi khas (SOV) daripada Cendana Auto serta ambulans.

 

Kelengkapan untuk bantuan operasi pula seperti bot gempur, treler bot dan bot getah.

 

Bagi melancarkan operasi serta kegunaan dalam misi selain ketenteraan misalnya semasa bencana, TD menerima kelengkapan iaitu jambatan bantuan logistik.

 

Gogel

 

 

Kelengkapan jambatan medan yang mudah dipasang ini sangat perlu dengan bentuk geografi negara yang mempunyai sungai dan perairan.

 

Ia juga boleh menggantikan sementara jambatan yang rosak semasa bencana seperti banjir.

 

Bagi kelengkapan senjata pula, TD menerima mortar kaliber 60 milimeter sebagai senjata bantuan platun atau kompeni selain alat bantuan penglihatan malam dan pencari julat laser.

 

Perolehan secara berperingkat-peringkat sejak awal tahun ini telah menjadikan kesiagaan TD sentiasa berada pada tahap tinggi di samping memberikan bantuan terutama semasa negara ditimpa bencana alam.

 

Mortar
Muhammad Hafizuddeain diberi penerangan tentang senjata mortar 60mm baharu TD.

 

Perolehan-perolehan ini juga meningkatkan lagi elemen utama mobiliti  TD seperti trak 3 tan GS Kargo untuk membawa anggota dan muatan logistik serta ambulans medan.

 

Terdahulu, majlis penerimaan aset-aset baharu ini telah disempurnakan oleh Panglima TD, Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan di Kem Perdana Sungai Besi.

 

Turut hadir Timbalan Panglima TD, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan lain-lain pegawai kanan. - DagangNews.com