DRZ Iskandar, NTIS sepakat majukan bakat tempatan dalam rantaian teknologi | DagangNews Skip to main content

DRZ Iskandar, NTIS sepakat majukan bakat tempatan dalam rantaian teknologi

 (Dari kiri) Naib Presiden Eksekutif IIB, Ahmad Fadzli Zainudin; Pengarah Urusan IIB Ventures Sdn. Bhd., Zulfiqar Zainuddin; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad; Ketua Pegawai Pengurusan Aset IIB, Haris Hardi Zakaria dan Ketua Syarikat, Medini Iskandar Malaysia Sdn. Bhd., Mohamad Zamani Razali.

(Dari kiri) Naib Presiden Eksekutif IIB, Ahmad Fadzli Zainudin; Pengarah Urusan IIB Ventures Sdn. Bhd., Zulfiqar Zainuddin; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad; Ketua Pegawai Pengurusan Aset IIB, Haris Hardi Zakaria dan Ketua Syarikat, Medini Iskandar Malaysia Sdn. Bhd., Mohamad Zamani Razali.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Zon Robotik dan Dron (DRZ) Iskandar dan National Technology & Innovation Sandbox (NTIS) sepakat untuk berkongsi aspirasi dalam usaha meningkatkan bakat tempatan ke tahap yang lebih tinggi.

 

Menteri Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata, usaha tersebut adalah untuk menghasilkan impak sosio-ekonomi pada skala yang besar.

 

“DRZ Iskandar dan NTIS berkongsi aspirasi dalam usaha untuk meningkatkan bakat-bakat tempatan dan memajukan mereka ke tahap yang lebih tinggi dalam rantaian nilai teknologi, bagi menghasilkan impak sosio-ekonomi pada skala besar. 

 

"Melalui perkongsian ini, NTIS dapat menghubungkan syarikat teknologi tempatan kami dengan pemain industri yang lebih besar serta syarikat multinasional seperti DHL," katanya ketika melancarkan DRZ Iskandar secara maya semalam.

 

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

 

Pelancaran tersebut turut disaksikan oleh EXCO Pelaburan, Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Datuk Mohd. Izhar Ahmad bersama wakil DHL, MaGIC dan kumpulan syarikat IIB (Iskandar Investment Berhad).

 

Tambah Khairy, laporan industri 2020 yang dihasilkan oleh Drone Industry Insight yang menyatakan bahawa profit pasaran dron Asia dijangka akan meningkat daripada AS$8.6 bilion pada tahun 2020 menjadi AS$17.9 bilion pada tahun 2025.

 

"Justeru itu, Malaysia berhasrat untuk menjadi peneraju utama dalam industri teknologi dron. 

 

"Saya yakin bahawa melalui NTIS, kita dapat merealisasikan matlamat ini," ujar beliau lagi.

 

NTIS adalah inisiatif yang dipimpin oleh MOSTI bagi membolehkan para pencipta (innovator) menguji produk, perkhidmatan, model perniagaan dan mekanisme penyampaian dalam persekitaran yang selamat dan secara langsung. 

 

DRZ Iskandar merupakan program Sandbox NTIS dan IIB yang akan terus menyokong NTIS dalam mempercepatkan pertumbuhan teknologi dron dan robotik Malaysia.

 

Pelancaran DRZ Iskandar oleh IIB itu meletakkan Iskandar Puteri sebagai Zon Dron dan Robotik pertama di Asia Tenggara.

 

Pelancaran zon berkenaan bertujuan untuk mewujudkan eko-sistem dron dan robotik di Iskandar yang bakal menjadi mesin pertumbuhan, memacu teknologi dan menjadi hab tenaga kerja untuk Malaysia dan Asia Pasifik. 

 

DHL muncul sebagai salah satu rakan kongsi dalam DRZ Iskandar yang memiliki pemahaman mendalam mengenai keperluan rantaian bekalan sektor berkenaan di samping menerapkan penggunaan teknologi dron dan robotik dalam operasi. 

 

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo berkata, pihaknya sangat gembira menjadi sebahagian daripada zon dron dan robotik Iskandar selain berharap dapat menguji penyelesaian untuk pelbagai industri.

 

"Dengan memanfaatkan pengalaman teknologi dan kepakaran logistik kami, yang akan terbukti berharga dalam pengiriman dan pelepasan kastam untuk komponen dron, saya yakin bahawa DHL akan membantu IIB Ventures mewujudkan ekosistem dron dan robotik bertaraf dunia di Iskandar," ujar beliau. - DagangNews.com