Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Dis - DSR Taiko Bhd. (DSR) akan memasarkan durian Musang King yang mendapat jolokan 'raja buah Malaysia' di bawah jenama D.MasKing ke 15 buah negara pada awal tahun hadapan.
Syarikat itu bercadang untuk memasuki pasaran antaranya, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Singapura dan Afrika Selatan menerusi cawangannya, Daily Fresh.
Ketua Pegawai DSR Taiko, Datuk Ng Lian Poh berkata, setakat ini, industri durian kebanyakannya mengeksport buah durian semata-mata, justeru, DSR mengorak langkah lebih jauh untuk meningkatkan nilai tambah durian segar dengan membangunkan produk istimewa yang unik.
Katanya, menerusi kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dapat membantu syarikat menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan agresif dan membuka pasaran baharu di luar negara menerusi rangkaian Daily Fresh.
"Ini dapat membantu kami memanfaatkan pasaran produk hiliran dunia. Pada masa sama, kerjasama dengan SIRIM Tech Venture membolehkan kami membangunkan penyelesaian perniagaan kebun-kepada-pengguna (O2C) secara holistik bagi membangunkan piawaian industri durian Musaang King termasuk Sistem Penjejakan Bersepadu Musang King (MKITS).
"Langkah ini adalah sejajar dengan moto kami ‘Origin Matters’ dan merupakan kerjasama awam dan swasta yang sempurna bagi meningkatkan standard industri tanaman durian bagi mengesahkan keaslian raja buah ini," katanya dalam kenyataan sempena perasmian majlis pembukaan kedai mercunya, D.MasKing di Bukit Bintang hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Bhd, Datuk Dr Ahmad Sabirin.
DSR merupakan pemain industri durian bersepadu dari dusun-ke-pasaran sepenuhnya dengan pengalaman luas dalam pengurusan huluan dusun.
Keupayaan dinamik syarikat adalah bukti pakatan strategiknya dengan kepakaran Daily Fresh dalam pembangunan produk, kemudahan terkini serta rangkaian pengedaran yang luas membolehkan mereka mengembangkan perniagaan ke peringkat seterusnya.
Kedai baharu DSR itu menawarkan produk durian istimewa seperti piza durian, bertih jagung truffle durian, Gelato Musang King, serta isian gelato Musang King dalam croissant, puff, wafel dan tart.
Pada majlis perasmian itu juga, DSR bertukar dokumen perjanjian projek dengan SIRIM Tech Venture, anak syarikat SIRIM bagi membangunkan piawaian industri Musang King menerusi MKITS.
Pembangunan sistem ini turut melibatkan beberapa entiti antaranya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pusat Penyelidikan Universiti, dan apabila siap akan digunakan sebagai piawaian 'emas' bagi industri.
Kerjasama berkenaan dijangka merangsang peluang pekerjaan dan membangunkan kemahiran baharu dalam amalan pertanian baik.
Sementara itu, Ahmad Sabirin berkata, standard kualiti untuk pertanian itu memudahkan 3 langkah penting untuk pembangunan industri masa hadapan, dengan menetapkan garis asas, membolehkan peningkatan kualiti produk dengan lebih bermakna dan membentuk semula sistem untuk meningkatkan operasi.
"Kami berbesar hati dapat merintis piawaian ini untuk Musang King dengan kerjasama DSR bagi meningkatkan penanda aras industri tanaman Musang King di Malaysia.
"Saya percaya ini juga akan menggalakkan amalan pertanian mampan, dengan menerapkan disiplin kepada pemilik ladang untuk menggunakan kaedah pertanian yang bertanggungjawab ke arah mencapai pertumbuhan stabil pada tahun-tahun akan datang," jelasnya. - DagangNews.com