KUALA LUMPUR 3 Jun - Dua bekas pengarah anak syarikat MMAG Holdings Bhd berdepan pertuduhan berkaitan dakwaan penyelewengan harta secara tidak jujur.
MMAG berkata anak syarikatnya M Jets International Sdn Bhd (MJets) telah menerima surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengenai bekas pengarahnya Gunasekar Mariappan dan Philip Phang Kin Ming.
Kedua-dua mereka telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, kata MMAG dalam makluman di Bursa Malaysia.
MMAG berkata Gunasekar dan Phang telah dikenakan tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, berhubung penyelewengan harta benda secara tidak jujur.
"Syarikat ingin mengulangi bahawa pada setiap masa penting, ia telah mengambil langkah segera untuk menjaga kepentingan kumpulan," tambahnya.
ARTIKEL BERKAITAN: MMAG gantung 2 pengarah M Jets International, tunggu keputusan siasatan SPRM
Pada Februari 2022, MMAG menggantung tugas Gunasekar dan Phang, sementara menunggu hasil siasatan badan antirasuah susulan serbuan di pejabat MJet.
Kemudian pada April 2022, pasangan itu telah disingkirkan daripada jawatan mereka di MJet dan disaman oleh MMAG atas dakwaan melanggar tugas fidusiari. - DagangNews.com