Dua Pengarah YNH Property lepaskan jawatan | DagangNews Skip to main content

Dua Pengarah YNH Property lepaskan jawatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Jun - Pengarah bebas dan bukan eksekutif YNH Property Berhad, Ching Nye Mi @ Chieng Ngie Chay, 75, dan Ding Ming Hea, 59, telah meletakkan jawatan daripada lembaga pengarah pemaju hartanah itu, berkuat kuasa 31 Mei 2023.

 

Nye Mi dan Ming Hea telah berkhidmat dengan syarikat itu selama lebih 12 tahun.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu tidak mendedahkan sebab di sebalik peletakan jawatan mereka," kata kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kedua-dua mereka juga merupakan pengarah bebas dan bukan eksekutif Rapid Synergy Berhad.

 

Sehingga Mei 2022, Nye Mi memiliki 1.27% kepentingan langsung atau 7.23 juta saham dalam YNH manakala Ming Hea memiliki 0.46% kepentingan langsung atau 2.42 juta saham, menurut data Bloomberg.

 

YNH menjadi tumpuan baru-baru ini selepas kumpulan itu mengumumkan bahawa ia melupuskan sebidang tanah seluas 2.05 hektar di Desa Sri Hartamas kepada anak syarikat milik penuh Sunway Sunway Living Space Sdn Bhd dengan tunai RM170 juta.

 

Perjanjian itu bagaimanapun berdepan halangan kerana Bursa Securities menimbulkan pelbagai persoalan mengenai transaksi tersebut. 

 

Bursa Malaysia mengeluarkan pertanyaan pertamanya, yang mempunyai 26 soalan pada 22 Mei, yang dijawab oleh YNH pada 19 Mei. 

 

Mereka sekali lagi mengeluarkan pertanyaan lain pada 22 Mei dan YNH dikehendaki memberikan jawapannya dalam masa 24 jam.

 

Dalam jawapannya kepada pertanyaan itu, YNH mengakui kumpulan itu telah terlepas pandang beberapa butiran dan akan mendapatkan nasihat daripada penasihat untuk membetulkan kesilapan itu. - DagangNews.com