Dua syarikat tenaga China berminat melabur lebih AS$10 bilion dalam sumber tenaga hijau Sarawak | DagangNews Skip to main content

Dua syarikat tenaga China berminat melabur lebih AS$10 bilion dalam sumber tenaga hijau Sarawak

Tan Sri Abang Johari Tun Openg bertemu delegasi dua syarikat China di pejabatnya pada 24 Julai 2024. - Gambar Ukas

KUALA LUMPUR 24 Julai - Dua syarikat tenaga dari China menyatakan hasrat mereka untuk melabur lebih AS$10 bilion (RM46.5 bilion) dalam pembangunan sumber tenaga hijau di Sarawak.

 

Menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Shanghai Electric Malaysia dan China Three Gorges International Limited sudah bertapak di Sarawak sejak 10 tahun lalu.

 

Pengarah Shanghai Electric Malaysia, Zhang Xiaohui berkata, pengalaman dan kejayaan bekerja dengan syarikat di Sarawak telah memberi keyakinan kepada mereka untuk meningkatkan pelaburan mereka.

 

“Pada ketika ini kami percaya di bawah kepimpinan Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Sarawak akan menjadi hab tenaga hijau suatu hari nanti, jadi kami ingin menghulurkan sokongan.

 

“Oleh itu, kami dari China Three Gorges dan Shanghai Electric mahu mengambil bahagian dalam pembangunan tenaga hijau ini dan kami merancang untuk melabur lebih RM10 bilion di Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier di sini hari ini.

 

Turut hadir ialah Presiden Shanghai Electric Power T&D (M) Sdn Bhd, Shao Jian Ming dan Naib Presidennya, Yang Xing Hai, serta Pengerusi Shanghai Electric Malaysia Chen Ping.

 

 

parafrasa

 

 

Secara berasingan, Abang Johari turut menerima kunjungan hormat daripada Mubadala Energy Malaysia yang diketuai oleh presidennya, Khalfan Al Mansoori dan ketua perhubungan luar dan komunikasi Varian Ignatius.

 

Mubadala Energy merupakan syarikat tenaga antarabangsa yang beribu pejabat di Abu Dhabi. Turut hadir dalam kedua-dua mesyuarat itu ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi. - DagangNews.com