KUALA LUMPUR 27 Sept - Duopharma Biotech Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Duopharma Consumer Healthcare Sdn. Bhd. akan mengedarkan produk anti-keguguran rambut berjenama IRORO dari Korea Selatan.
Ini menyaksikan syarikat itu memeterai perjanjian pengedaran produk dengan SCM Lifescience, Inc., syarikat teknologi stem sel bagi kemasukan produk itu dalam pasaran Malaysia yang akan tersedia kepada pengguna melalui platform e-dagang pada suku pertama 2023..
Rangkaian produk yang akan diedarkan Duopharma Consumer Healthcare merangkumi IRORO Nutreatment Anti-Hair Loss Shampoo for Men, IRORO Nutreatment Anti-Hair Loss Shampoo for Women, IRORO Nutreatment Anti-Hair Loss Treatment dan IRORO Nutreatment Anti-Hair Loss Serum.
Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, perjanjian itu membolehkan syarikat mengembangkan kemasukannya dalam segmen kosmeseutikal dengan rangkaian IRORO yang diperakui halal yang dirumus khas untuk Malaysia.
Katanya, susulan pelaburan sebanyak 2.73% dalam SCM Lifescience, Duopharma Biotech komited untuk mengoptimumkan penemuan mereka terutamanya dalam penyelidikan sel stem, untuk meningkatkan penawaran produk pengguna dan membolehkannya mempunyai kelebihan unik dalam pasaran.
"Kami juga sedang bekerjasama dengan SCM Lifescience untuk membangunkan terapi sel stem dermatitis atopik.
"Melalui pengenalan rangkaian IRORO, kami meletakkan asas untuk segmen produk ini menjelang pelancaran produk yang berpotensi untuk merawat dermatitis atopik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Teknologi sel stem yang digunakan dalam IRORO boleh merangsang pertumbuhan rambut dan membaiki kulit kepala.
Penyelidik mendapati bahawa selepas dua minggu digunakan, mereka akan mengalami peningkatan dalam kebersihan liang kulit kepala dan tahap kelembapan kulit, tanpa sebarang kerengsaan kulit diperhatikan, penemuan yang disahkan oleh institusi klinikal yang diperakui di Korea Selatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SCM Lifescience, Dr. Byong Kwan Son berkata, rangkaian produk itu akan menjadi yang pertama antara produk lain yang disediakan untuk rakyat Malaysia melalui kerjasama R&D dengan Duopharma Consumer Healthcare. - DagangNews.com