Duopharma Biotech sumbang RM81,890 kepada NASOM bagi sokong usaha pupuk kesedaran mengenai autisme | DagangNews Skip to main content

Duopharma Biotech sumbang RM81,890 kepada NASOM bagi sokong usaha pupuk kesedaran mengenai autisme

Majlis penyerahan cek diadakan di ibu pejabat Duopharma Biotech yang dihadiri oleh Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar; Ketua Pegawai Eksekutif Duopharma Consumer Healthcare Sdn. Bhd., Shamsul Idham Ahad; Presiden NASOM, Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin dan Ketua Penjagaan Kesihatan GMS dan F&B Guardian Malaysia, FErnandi Gongora.

 

 

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Dis - Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) menyampaikan sumbangan sebanyak RM81,890 kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) bagi menyokong usaha memupuk kesedaran mengenai autisme. 

 

Daripada jumlah tersebut, RM50,000 berjaya dikumpulkan menerusi kempen Kasihi Autisme Bersama CHAMPS manakala RM31,890 yang dikumpulkan daripada hasil jualan karya seni kanak-kanak autisme. 

 

Kempen mengumpul dana itu telah dijalankan dengan kerjasama rantaian farmasi Guardian Malaysia menerusi kempen Kasihi Autisme Bersama CHAMPS yang berlangsung selama dua bulan bermula April hingga Jun lalu dengan RM1 disumbangkan kepada NASOM melalui penjualan setiap pek promosi Vitamin C jenama itu. 

 

Pada masa sama, lebih 150 karya seni yang dihasilkan kanak-kanak autisme dipamerkan dan dijual di www.dbhealth2go.com dari 8 April hingga 15 Jun lalu pada harga RM300 hingga RM700 setiap satu.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan NASOM dalam usaha memupuk kesedaran dan penerimaan autisme dalam kalangan orang ramai 

 

"Kami percaya setiap kanak-kanak adalah juara termasuk dari golongan autisme dan mereka berbakat dalam kapasiti tersendiri. Mereka hanya memerlukan sokongan untuk menyerlah potensi sebenar mereka.

 

"Tahun ini kami mengembangkan usaha mengumpul dana dengan menambah jualan karya seni yang dihasilkan sendiri kanak-kanak autisme.

 

"Dengan gabungan dana yang berjaya dikumpulkan, NASOM akan mempunyai lebih keupayaan dalam membantu meningkatkan kualiti hidup golongan autisme dan keluarga mereka menerusi pelbagai program, perkhidmatan, sumber, ilmu pengetahuan dan inovasi sosial selain memperjuangkan hak serta peluang untuk golongan autisme,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. - DagangNews.com