Duopharma labur RM4.5 juta dalam firma bioteknologi AS The Live Green Co teroka bahan, teknologi berasaskan tumbuhan | DagangNews Skip to main content

Duopharma labur RM4.5 juta dalam firma bioteknologi AS The Live Green Co teroka bahan, teknologi berasaskan tumbuhan

Pasukan dari Duopharma diketuai oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Leonard Ariff Abdul Shatar (keempat dari kiri) melawat pusat bioinnovasi The Live Green Co di India baru-baru ini
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 Julai - Duopharma Biotech Berhad telah menerima kelulusan daripada lembaga pengarah untuk melabur sehingga AS$1 juta (RM4.5 juta) ke dalam syarikat biotech yang berpangkalan di Amerika Syarikat, The Live Green Co (TLGC) .

 

Dalam satu kenyataan media hari ini,Duopharma berkata ia akan memperoleh saham dalam TLGC, memberikannya hak pembuatan, pemasaran dan pengedaran untuk produk yang dibangunkan bersama di ASEAN.

 

Pelaburan tersebut adalah berikutan pemeteraian perjanjian kerjasama antara Duopharma Biotech dan TLGC pada 2022 untuk meneroka penggunaan bahan dan teknologi tumbuhan bagi menggantikan bahan haiwan, sintetik dan ultra-diproses dalam produk farmaseutikal dan makanan kesihatan, sebagai tindak balas kepada peningkatan minat dan permintaan pengguna.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata pelaburan tersebut mencerminkan tumpuan strategik kumpulan terhadap segmen penjagaan kesihatan penggunanya.

 

“Kami merebut peluang untuk menerokai makanan berfungsi berasaskan tumbuhan sebagai tindak balas kepada peningkatan permintaan dalam kalangan pengguna yang berminat untuk meningkatkan kesihatan melalui diet mereka, serta memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan produk diet khas, seperti makanan mesra diabetes.

 

“Sejak kami menandatangani perjanjian kerjasama dengan TLGC tahun lalu, inovasi mereka seperti Charaka™ dan Precision Fermentation lebih relevan berbanding sebelumnya dalam pasaran hari ini, justeru komitmen dan perkongsian yang diperluaskan ini sememangnya tepat pada masanya,” ujar beliau.

 

Berikutan pelaburan itu, Duopharma menyasarkan untuk kembangkan penawaran produknya kepada kesihatan dan makanan berfungsi melalui akses kepada Charaka™ – enjin carian dan penemuan yang didayakan kecerdasan buatan (AI) milik TLGC, yang membantu dalam penyelidikan dan pembangunan harga mampu milik bagi alternatif berasaskan tumbuhan untuk bahan makanan haiwan, tiruan dan ultra-diproses.

 

Menurut Duopharma, produk hasil kerjasama pembangunan produk dengan TLGC dijadualkan untuk melihat sekurang-kurangnya dua produk yang dirumus semula untuk memasuki pasaran menjelang suku keempat 2024.

 

Jenama pengguna terkemuka yang disasarkan untuk diperkenalkan sebagai produk berasaskan tumbuhan sahaja termasuk Flavettes, Champs, Proviton, Uphamol dan Naturalle.  - DagangNews.com