Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Julai - Kempen 'Durian e-Fiesta' melalui platform e-dagang Shopee mampu melindungi para pengguna daripada sebarang kes penipuan pembelian 'raja buah' tersebut.
Dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memperkasa para petani dan penjual durian, kesemua transaksi di platform berkenaan akan dilindungi oleh polisi Jaminan Shopee.
Jaminan Shopee merupakan sebuah polisi yang akan melindungi semua transaksi yang dilakukan di platform tersebut agar para pengguna dilindungi setiap masa.
Shoppe berkata, polisi berkenaan memastikan bahawa platformnya memegang pembayaran secara escrow sehingga pembeli memastikan barangan yang diterima adalah tulen dan berada dalam keadaan baik sebelum bayaran dilepaskan kepada penjual.
"Dengan polisi ini, proses pemulangan pembayaran kepada pengguna Shopee dapat dilakukan sepantas 15 minit setelah diluluskan jika bayaran dibuat menggunakan ShopeePay.
"Ini membolehkan para pengguna membeli-belah di Shopee tanpa rasa bimbang," jelas Shopee dalam satu kenyataan.
FAMA telah bekerjasama dengan Shopee bagi meneruskan Durian e-Fiesta buat tahun kedua dalam proses menormalisasikan penjualan dan pembelian barangan pertanian secara dalam talian ekoran penularan pandemik.
Kempen berkenaan akan berlangsung dari 10 hingga 31 Julai dengan baucar diskaun menarik hingga 50%, diskaun RM15 dengan pembelanjaan minimum RM60 serta diskaun RM30 dengan pembelanjaan minimum RM100 yang boleh dituntut menerusi laman mikro eFAMAPLACE.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, pihaknya sedang membantu para petani durian untuk mengelak daripada lambakan durian sepanjang kemuncak musim buah berkenaan.
"Kerjasama dengan Shopee untuk menawarkan baucar yang boleh dituntut dan digunakan akan memanfaatkan para penjual dan juga pengguna.
"Kami juga telah memastikan pelbagai jenis durian popular boleh didapati seperti Musang King, Udang Merah, XO, D101, durian kampung dan lain-lain," tambah beliau.
Dalam kenyataan sama, beliau memberitahu, sebagai salah satu platform e-dagang terbesar di Malaysia, Shopee merupakan pihak yang paling sesuai untuk merealisasikan impian FAMA dalam membantu usahawan agro makanan dalam pemasaran secara atas talian.
Dalam pada itu, Pengurus Kanan (Pemasaran) Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, pihaknya berterima kasih kepada FAMA kerana memberi peluang kepada Shopee untuk menyokong usaha berkenaan.
"Secara bersama, kami telah mendigitalkan 211 penjual durian dan telah membantu dalam persediaan mereka menjelang kempen Durian e-Fiesta. Kami memahami bahawa sejak kebelakangan ini terdapat banyak kes penipuan berkaitan durian di media sosial.
"Kami berada di sini untuk memberi jaminan kepada para pengguna agar mereka tidak berasa bimbang kerana semua transaksi di Shopee dilindungi oleh polisi Jaminan Shopee kami," tambahnya. - DagangNews.com