Dutch Lady perkenal wajah & resepi susu baharu | DagangNews Skip to main content

Dutch Lady perkenal wajah & resepi susu baharu

Dutch Lady

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Jenama minuman susu terkenal, Dutch Lady memperbaharui portfolio produk dengan memperkenalkan wajah dan resepi baharu susunya bagi memenuhi permintaan pengguna di samping menekankan aspek kesihatan.

Pengarah Utusan Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI), Tarang Gupta berkata, penambahbaikan tersebut membolehkan jenama Dutch Lady terus berkembang selari dengan peningkatan tahap kesedaran kesihatan pasaran tempatan.

"Kami teruja memperkenalkan Dutch Lady baharu yang ditambah baik untuk rakyat Malaysia. Resepi yang lebih baik ini selari dengan objektif asal kami untuk terus memberikan khasiat kepada pengguna melalui nutrisi tenusu yang berkualiti dan dipercayai.

Dutch Lady

"Kami yakin bahawa produk Susu Cecair dan Susu Tepung Keluarga Dutch Lady ini akan diterima baik oleh pengguna di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Produk Susu Cecair dan Susu Tepung Keluarga yang ditambah baik itu masih menekankan aspek pembinaan keluarga yang kuat dengan produk susu bernutrisi dan berkualiti.

Formulasi semula itu juga berjaya memenuhi standard terbaik apabila mencapai kriteria Logo Pilihan Lebih Sihat Malaysia (Healthier Choice Logo) daripada Kementerian Kesihatan.

Pencapaian tersebut dinilai dengan mengambil kira jumlah lemak, kalsium dan gula bagi ketegori tenusu bagi membolehkan pengguna membuat pilihan tepat dalam kategori produk yang sama.

Tambah Tarang, pihaknya turut komited menyokong kerajaan dalam usaha membina langkah keselamatan makanan susulan berlakunya penularan wabak COVID-19.

"DLMI merancang mengembangkan lagi keupayaan produksi dengan pembelian tanah industri seluas 32.59 ekar di Negeri Sembilan.

Dutch Lady

"Ia juga adalah usaha mendorong industri tenusu dan halal tempatan yang merupakan kunci keselamatan makanan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada produk makanan import," jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, Tarang memberitahu, produk yang diperbaharui itu turut tampil dengan pek baharu yang diperbuat daripada bahan pembungkusan daripada sumber hutan yang diperakui oleh Forest Stewardship Council (FSC) serta sumber terkawal lain.

Pek baharu itu akan menyediakan meklumat berkaitan langkah-langkah kitar semula serta kod QR untuk memudahkan pengguna mengakses maklumat berkaitan lokasi, langkah, dan faedah kitar semula.

Produk tersebut boleh didapati di semua pasar raya serta platform e-dagang bermula Ogos. - DagangNews.com