Moomoo dan GXBank lancar platform pelaburan bersepadu kepada pelanggan Malaysia | DagangNews Skip to main content

Moomoo dan GXBank lancar platform pelaburan bersepadu kepada pelanggan Malaysia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 8 Jan – Aplikasi dagangan paling banyak dimuat turun di Malaysia, Moomoo, dan GXBank memperkenalkan Universal Moomoo, satu kaedah pelaburan yang lebih mudah, lancar dan inklusif kepada rakyat Malaysia, yang membolehkan pelanggan GXBank membuat pemindahan wang segera ke akaun Moomoo untuk memulakan pelaburan.

 

Sebagai sebahagian daripada pelancaran itu, pelanggan GXBank yang membuka akaun Universal Moomoo baharu dan membiayai akaun tersebut melalui GXBank, akan menerima ganjaran eksklusif termasuk sehingga 4x saham Grab tambahan dan 1.7x saham Apple untuk masa terhad.

 

Kerjasama berkenaan mencerminkan visi bersama untuk memperkasa rakyat Malaysia agar lebih yakin dalam mengurus masa depan kewangan mereka. 

 

Dengan menghubungkan akaun GXBank secara langsung kepada Moomoo, sistem bersepadu itu memudahkan pelaburan serta mempercepat pembinaan kekayaan kepada pelanggan.

 

Proses yang lancar itu memastikan pelanggan GXBank dapat mengakses peluang pelaburan dengan lebih pantas dan mudah untuk mengembangkan portfolio kewangan mereka.

 

Platform Moomoo memperkukuhkan pengalaman berkenaan menerusi penawaran pelbagai alat dan bantuan untuk menyokong keputusan yang lebih bermaklumat. 

 

Daripada data pasaran masa nyata dan berita terkini kepada penyaring lanjutan dan analitik visual, platform itu sesuai untuk pelabur baharu dan pedagang berpengalaman. 

 

Antara muka yang mesra pengguna memastikan ia mudah digunakan, manakala ciri-ciri bertaraf profesional membolehkan pengguna meneroka pasaran kewangan yang kompleks dengan yakin.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Moomoo Malaysia, Ivan Mok berkata, sejak pelancaran platformnya di Malaysia awal tahun lepas, Moomoo menyaksikan permintaan yang semakin meningkat untuk alat yang mempermudahkan pelaburan sambil memberikan nilai sebenar kepada pelanggan. 

 

"Keupayaan untuk menghubungkan akaun GXBank terus ke Moomoo bukan sahaja mengurangkan rintangan, tetapi juga memberi kuasa kepada pengguna untuk bertindak atas peluang pasaran dengan pantas. 

 

"Kerjasama ini juga mencerminkan tumpuan bersama kami dalam menyokong pelaburan bermaklumat. Dengan pelbagai pandangan berasaskan data daripada kewangan visual kepada penyaring pintar, pengguna boleh membuat keputusan dengan yakin," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif GXBank, Pei-Si Lai pula berkata, kerjasama itu sejajar dengan misi untuk menggalakkan rakyat Malaysia lebih proaktif dalam masa depan kewangan dan membantu mereka mencapai matlamat kewangan.

 

"Mengurus kewangan boleh menjadi tugas yang mencabar, namun kami komited untuk menyediakan pengurusan kewangan lebih mudah diakses kepada rakyat Malaysia.

 

"Melalui kerjasama ini, kami menawarkan akses kepada alat kewangan dan ganjaran eksklusif, memperkasakan rakyat Malaysia untuk mengawal kewangan mereka dengan lebih yakin dan mudah," ujarnya.

 

Kira-kira sejuta rakyat Malaysia kini menggunakan perkhidmatan perbankan GXBank, mewujudkan lebih 900,000 Savings Pockets, iaitu satu ciri yang membolehkan pengguna menyimpan wang dalam cara yang lebih teratur. - DagangNews.com