Dutch Lady umum langkah optimumkan operasi di Malaysia, beralih ke model perniagaan lebih mampan | DagangNews Skip to main content

Dutch Lady umum langkah optimumkan operasi di Malaysia, beralih ke model perniagaan lebih mampan

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 29 Nov - Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI), pengeluar produk tenusu terkemuka negara hari ini mengumumkan pengoptimuman operasi pengeluaran tenusunya termasuk penamatan operasi pengeluaran susu tepungnya di Petaling Jaya yang dijangka pada 31 Mei 2023.

 

Berikutan langkah pengoptimuman ini, operasi pengeluaran susu tepungnya tidak akan dijalankan di kemudahan pengilangan baharu DLMI di Bandar Enstek.

 

"Walau bagaimanapun, ketersediaan produk tersebut untuk keperluan pasaran Malaysia tidak akan terjejas kerana DLMI akan mendapatkan bekalan produk ini daripada rangkaian pengilangan syarikat induknya FrieslandCampina demi memastikan bekalan yang berterusan," kata DLMI dalam kenyataan di sini.

 

DLMI juga akan turut menamatkan beberapa barisan pengeluaran yang lain secara berperingkat dalam tempoh dua tahun akan datang, sebagai sebahagian daripada langkah pengoptimuman operasi ini.

 

Langkah ini adalah sejajar dengan pendekatan FrieslandCampina dalam meningkatkan operasi perniagaan dan beralih kepada model perniagaan yang lebih mampan; iaitu yang memacu fokus, inovasi dan kecekapan atas faktor keperluan strategik jangka panjang FrieslandCampina dan untuk terus memenuhi keperluan pengguna pada masa hadapan.

 

Pengarah Urusan DLMI, Ramjeet Kaur Virik berkata, “Malangnya, keputusan yang telah kami ambil ini, menjejaskan anggaran 100 pekerjaan sedia ada. Pekerjaan tersebut tidak lagi diperlukan di kilang baru kami di Bandar Enstek.

 

"Kami akan mematuhi kewajipan kontrak untuk membantu kakitangan terkesan melalui fasa peralihan. DLMI komited untuk menyokong kesemua kakitangan dan memastikan kelangsungan perniagaan, bekerjasama rapat dengan rakan niaga kami”.


 

Ramjeet Kaur Virik
                                                            Ramjeet Kaur Virik

 


“Model perniagaan DLMI kekal sama, stabil dan kukuh. Sebagai barisan pengurusan DLMI, kami perlu membuat keputusan dengan memberi fokus pertimbangan komersial yang menyeluruh, demi mewujudkan nilai yang lestari untuk jangka panjang agar DLMI terus menang dalam pasaran,” tambah Ramjeet.

 

DLMI komited untuk menyediakan produk berkhasiat berkualiti tinggi, Halal dan mampu milik untuk masa hadapan melalui perpindahan kelak ke Bandar Enstek. Dengan pelaksanaan teknologi Industri 4.0 di kemudahan pengilangan baharunya, DLMI berusaha untuk mencapai kecemerlangan dan kecekapan operasi untuk terus menang di Malaysia dan pasaran masa hadapan.

 

Penerapan inovasi baharu akan membolehkan organisasi memenuhi pertumbuhan pengeluaran tenusunya dan memberi manfaat yang besar kepada industri tenusu tempatan yang semakin berkembang di samping meningkatkan kualiti dan jumlah pengeluaran susu mentah tempatan.


 

dlmi
Ilustrasi grafik kompleks kilang pengeluaran tenusu baharu Dtuch Lady di Bandar Enstek, Negeri Sembilan yang kini giat dibina.

 

 

DLMI telah menjadi sebahagian daripada lanskap Malaysia sejak 1963 dan menjadi pilihan turun termurun pelbagai generasi untuk DLMI terus “Mengkhasiatkan Dunia dan Manusia Sejagat Dalam Setiap Peringkat Kehidupan”.

 

DLMI ialah anak syarikat Royal FrieslandCampina N.V. Falsafah ‘Dari Rumput ke Gelas’ (Grass to Glass) DLMI memacu pelan hala tuju syarikat yang lestari dengan empat objektif – (1) mengkhasiatkan rakyat Malaysia dengan nutrisi yang lebih baik, (2) memacu inisiatif yang mampan di peringkat ladang, (3) keseimbangan yang lebih baik untuk jejak karbon yang lebih kecil dan (4) usaha pasca penggunaan. - DagangNews.com