KUALA LUMPUR 4 Dis - Untung bersih LB Aluminium Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Oktober 2024 (2QFY25) meningkat kepada RM12.5 juta berbanding RM6.2 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya didorong sumbangan lebih tinggi daripada segmen aluminum dan hartanah.
Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku berkenaan meningkatkan kepada RM280.2 juta berbanding RM221.7 juta pada 2QFY24.
"Segmen aluminium mencatatkan peningkatan hasil ebanyak 25.5% kepada RM190.8 juta berbanding RM152 juta pada 2QFY24 disebabkan jumlah jualan yang lebih tinggi dan harga jualan purata berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya.
"Segmen hartanah melaporkan hasil sebanyak RM89.35 juta berbanding RM69.66 jutapada tahun sebelumnya dipacu projek Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) dan PSV 1 Residences @ Platinum South Valley di Bandar Tasik Selatan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Keuntungan bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Oktober 2024 (6MFY25) meningkat kepada RM25.5 juta berbanding RM12.5 juta dengan hasil meningkat kepada RM559.9 juta berbanding RM427.5 juta pada 2QFY24.
Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, bagi segmen aluminium, pengukuhan semasa dolar Amerrika Syarikat (AS) berbanding ringgit adalah petanda baik kerana mereka akan meningkatkan penerimaan eksport kerana jualan eksport adalah dalam dolar AS.
Bagaimanapun, pengukuhan dolar juga akan meningkatkan kos input bahan mentah utama seperti bilet aluminium.
"Kami akan terus memantau dengan teliti kos operasi dan harga jualan kami untuk mengekalkan margin keuntungan," katanya.
Bagi segmen hartanah, jualan terkumpul untuk SASaR dan PSV 1 Residences pada 31 Oktober 2024 masing-masing adalah 99.8% dan 82.2%, manakala kemajuan pembinaan terkumpul masing-masing adalah 79.6% dan 52.8%.
Projek-projek itu akan terus menyumbang secara positif kepada kumpulan apabila mereka mencapai jualan yang lebih tinggi dan kemajuan kerja. - DagangNews.com