KUALA LUMPUR 4 Dis - Tan Sri ldrus Harun dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang baharu untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa 25 November 2024 hingga 24 November 2027.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelantikan itu adalah bagi mengisi kekosongan selepas bekas pengerusi, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berkuatkuasa 3 Julai 2024.
Pelantikan itu dibuat di bawah Seksyen 5(1)(a) Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 (Akta 713).
Armizan yakin, pelantikan Idrus akan memastikan kesinambungan usaha pemerkasaan peranan MyCC sebagai salah satu agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berdasarkan pengalaman luas dan kepakaran yang dimiliki.
"Selain itu saya juga berharap beliau dapat membawa hasrat agenda reformasi kerajaan melalui pindaan Akta Persaingan 2010 (Akta 712) bagi memperkasakan lagi kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan MyCC.
"Ia termasuk memperkenalkan rejim penggabungan dan pengambilalihan bagi menghalang pembentukan awal kartel atau monopoli yang bermasalah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
ldrus memiliki ljazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya dan pernah menyandang pelbagai jawatan penting, termasuk sebagai Peguam Negara dengan rekod perkhidmatan selama lebih 40 tahun.
Sepanjang kerjaya beliau, Idrus telah berkhidmat sebagai Pegawai Undang-Undang, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan.
Beliau juga dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman mulai 1 November 2024.
Armizan turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bekas pengerusi MyCC, Mohd Hishamudin atas segala jasa dan sumbangan beliau kepada MyCC dan negara sepanjang tempoh perkhidmatan beliau. - DagangNews.com