KUALA LUMPUR 4 Dis - UEM Sunrise Berhad mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sufian Abdullah telah memberi notis peletakan jawatan pada 29 November 2024.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata, Sufian yang telah dilantik pada 2 Februari 2021 itu berhasrat untuk mengejar peluang lain dan akan kekal dengan syarikat selama baki tempoh notisnya.
Peletakan jawatan beliau akan berkuat kuasa pada 28 Februari 2025.
Sufian menzahirkan penghargaan beliau terhadap UEM Sunrise kerana diberi peluang untuk membimbing syarikat selama tiga tahun.
"Saya yakin syarikat akan terus berkembang, maju dan mencapai kejayaan yang lebih besar pada tahun-tahun mendatang," kata beliau.
Bagi pihak Lembaga Pengarah, Pengerusi UEM Sunrise, Datuk Hisham Hamdan, merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Sufian atas kepimpinan dan sumbangannya selama ini.
“Di bawah kepimpinan Sufian, UEM Sunrise menyaksikan pemulihan kukuh, perkembangan syarikat di Australia dan melancarkan pembangunan sejajar dengan matlamat strategik kami.
"Kepimpinan beliau dan pendekatan yang mengutamakan pelanggan telah memacu prestasi kami yang lebih baik.
"Kami mendoakan yang terbaik untuk beliau pada masa hadapan," katanya.
Syarikat merangka pelan peralihan bagi memastikan pengurusan erniagaan dan operasi UEM Sunrise berterusan.
Lembaga Pengarah melantik Ketua Pegawai Kewangan UEM Sunrise, Hafizuddin Sulaiman sebagai pegawai yang bertanggungjawab.
Selain itu, Lembaga Pengarah juga membentuk Jawatankuasa Pemantauan yang terdiri daripada Christina Foo, Datuk Seri Azmar Talib dan Datuk Amran Hafiz Affifudin untuk membantu Hafizuddin dalam melaksanakan tugasnya.
Pada masa yang sama, Lembaga Pengarah telah memulakan proses rasmi untuk mengenal pasti calon untuk menerusi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat dan akan membuat pengumuman pada masa yang sesuai.- DagangNews.com