KUALA LUMPUR 4 Dis - Akademi maritim terkemuka di Malaysia, Akademi Laut Malaysia (ALAM) yang diwakili oleh entiti operasinya, Malaysian Maritime Academy Sdn. Bhd. (MMASB), menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Maldives State Shipping (MSS), anak syarikat State Trading Organization plc, untuk memacu kemajuan dalam pendidikan maritim, latihan dan inovasi.
Kerjasama strategik itu bertujuan untuk memenuhi permintaan yang berkembang dalam industri maritim sambil memupuk pertumbuhan profesional melalui pendidikan terkini, latihan berfokus industri dan inisiatif penyelidikan yang inovatif.
Kerjasama tersebut merangkumi program biasiswa berasaskan merit yang membolehkan pemohon yang berjaya dari Maldives mengakses kurikulum maritim ALAM yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, disokong oleh kemudahan canggih dan fakulti pakar.
Selain itu, ia turut menawarkan peluang latihan yang dipertingkatkan serta program praktikal dengan MSS, memberikan pengalaman langsung yang tidak ternilai industri maritim.
ALAM dan MSS akan menjalankan penyelidikan bersama untuk menangani cabaran kritikal dalam industri dan memacu inovasi, sambil menggalakkan peluang kerjaya yang pelbagai untuk menarik serta mengembangkan bakat maritim masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutif ALAM, Ts. Dr. Kapten Manivannan Subramaniam berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan MSS untuk memperkasakan generasi baharu pelaut dan pemimpin maritim.
"Penandatanganan MoU hari ini menandakan pencapaian bersejarah bagi ALAM apabila kami memperluaskan jangkauan ke luar Asia Tenggara buat pertama kalinya.
"Dengan melangkaui sempadan serantau, kerjasama ini menegaskan komitmen kami untuk memajukan pendidikan maritim serta inovasi dalam skala yang lebih luas," katanya dalam satu kenyataan.
Selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya Pendidikan Berkualiti (SDG 4) dan Perkongsian untuk Matlamat (SDG 17), perkongsian itu menegaskan visi bersama ALAM dan MSS untuk mencipta persekitaran pembelajaran dinamik yang mempersiapkan pelajar untuk cemerlang dalam sektor maritim, sambil menyumbang kepada kemajuan dalam pendidikan, inovasi dan kelestarian.
Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut dimeterai dengan kehadiran CEO MMASB, Eddie Ahmad Khodzali dan Pengarah Urusan & CEO MSS, Ahmed Shareef.
Ia turut disaksikan Pesuruhjaya Tinggi Republik Maldives ke Malaysia, Dr. Mariyam Shabeena Ahmed, Timbalan Pengarah Urusan MSS, Kapten Ahmed Zubair dan Capt. Dr. Manivannan. - DagangNews.com