KUALA LUMPUR 4 Dis – Lebih 50 ahli Sekretariat Fourth for the Fourth (404) yang terdiri daripada petugas media dan badan bukan kerajaan (NGO) berarak ke Parlimen bagi menyampaikan memorandum membantah cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) serta memperjuangkan kebebasan media.
Kesemua ahli Sekretariat 404 itu berarak sejauh kira-kira 500 meter selepas bergerak dari Taman Tugu pada jam 9.30 pagi sebelum menyerahkan memorandum berkenaan kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil setibanya di Parlimen.
Perhimpunan aman tersebut dianjurkan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ), Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), menurut Sinar Harian.
NUJ, Geramm dan CIJ menerusi satu kenyataan bersama berkata, memorandum terbabit ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail KDN selain kepada Fahmi sendiri.
“Kami tegas menentang sebarang cadangan pindaan PPPA yang mengancam kebebasan dan autonomi media.
“Walaupun kami menyambut baik jaminan Kementerian Dalam Negeri untuk berunding dengan pihak berkepentingan, kami mendesak dialog yang telus dan inklusif dengan semua pihak terlibat,” kata mereka.
Memorandum tersebut diperakui oleh 12 agensi media dan 40 NGO termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Women’s Aid Organisation (WAO), Rangkaian Solidariti Demokratik Pesakit Mental (SIUMAN), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Freedom Film Network, Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM) dan Persatuan Wartawan Malaysia.
Sementara itu, dalam pernyataan di laman rasmi Meta, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Setiausaha Akhbar Kanan, Tunku Nashrul Abaidah telah mewakili beliau untuk menerima memorandum bantahan pindaan undang-undang terkait media di pekarangan Parlimen, pagi ini.
"Insya-Allah Kerajaan menerusi Kementerian berkaitan akan meneliti setiap bantahan, kritikan dan cadangan yang dibangkitkan bagi menjamin suasana positif untuk industri media, di samping menjaga hak dan kebebasan mereka," kata Perdana Menteri.
NUJ, CIJ dan Geramm sebelum ini dilapor membangkitkan kebimbangan susulan kerajaan didakwa akan meminda PPPA termasuk mengenakan keperluan pelesenan bagi media dalam talian.
Susulan itu, beberapa pihak lain turut tampil menyatakan kerisauan sekiranya pindaan itu benar-benar dibuat kerana memberi kesan kepada kebebasan akhbar di negara ini.
Mengulas lanjut, NUJ, Geramm dan CIJ berkata, cadangan seperti pelesenan semula atau hukuman yang lebih berat terhadap pengamal media adalah langkah mundur dan mencabuli komitmen Malaysia terhadap nilai-nilai demokrasi.
"Kebebasan media penting untuk akauntabiliti dan kami akan menentang sebarang usaha untuk merosakkannya,” ujar mereka. - DagangNews.com