Uzma terima kontrak daripada EnQuest, sediakan perkhidmatan Unit Pekerjaan Hidraulik  | DagangNews Skip to main content

Uzma terima kontrak daripada EnQuest, sediakan perkhidmatan Unit Pekerjaan Hidraulik 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Dis - Uzma Bhd meraih kontrak daripada EnQuest Petroleum Production Malaysia Limited bagi penyediaan perkhidmatan Unit Pekerjaan Hidraulik (HWU) dan perkhidmatan berkaitan. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, surat anugerah (LoA) itu diterima oleh anak milik syarikat penuhnya, Uzma Engineering Sdn Bhd (UESB) pada 12 November 2024 yang kemudiannya diluluskan oleh EnQuest pada 4 Disember 2024.

 

"Kontrak ini berkuat kuasa pada 12 November 2024 dan akan kekal sah sehingga tamat projek melainkan ditamatkan lebih awal mengikut terma dan syarat yang ditetapkan. 

 

"Ia melibatkan kerja-kerja penyediaan peralatan dan perkhidmatan HWU untuk projek EnQuest di luar pesisir Malaysia Timur," katanya. 

 

Syarikat penyedia rumusan teknologi dan tenaga itu berkata, faktor risiko yang berpotensi termasuk risiko operasi dan pelaksanaan projek, jadual kerja, garis masa penghantaran dan keadaan cuaca buruk. 

 

“Kontrak ini tidak memberi sebarang kesan buruk ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat memandangkan ia tidak melibatkan penerbitan saham biasa.

 

“Bagaimanapun, kami menjangkakan kontrak ini akan menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 dan seterusnya sehingga tamat tempoh kontrak.

 

Sementara itu, Lembaga Pengarah berpendapat penerimaan kontrak tersebut akan memberi manfaat kepada syarikat selepas mempertimbangkan semua faktor yang berkaitan. - DagangNews.com