Dyson pilih Singapura sebagai ibu pejabat global, labur S$1.5 bilion | DagangNews Skip to main content

Dyson pilih Singapura sebagai ibu pejabat global, labur S$1.5 bilion

Lee Hsien Loong mendengar penerangan Sir James Dyson semasa merasmikan ibu pejabat global Dyson di Singapura pada 25 Mac 2022.

SINGAPURA 28 Mac - Dyson, pencipta pembersih hampagas tanpa beg akan melabur S$1.5 bilion (RM4.65 bilion) di Singapura dalam tempoh empat tahun akan datang, sebagai fasa terbaru rancangan pelaburan global syarikat itu berjumlah S$4.9 (RM15.2) bilion.

 

Semasa Dyson mengumumkan pelan pelaburan global pada 2020, ia berkata wang itu akan dibahagikan antara ibu pejabat global syarikat di Singapura, dua kampusnya di Wiltshire, selatan England dan Filipina.

 

Pada Jumaat lalu, ia melancarkan ibu pejabat global baharunya di bangunan bekas stesen janakuasa di Singapura, di mana ia merancang untuk mengupah lebih 250 jurutera dan saintis tambahan.

 

Jawatan tersebut akan merangkumi robotik, pembelajaran mesin, motor digital elektrik berkelajuan tinggi, storan tenaga dan banyak lagi.

 

Singapura ialah hab untuk pasukan penyelidikan dan kejuruteraan Dyson, serta operasi komersil, pembuatan termaju dan rantaian bekalan. Ia mempunyai lebih daripada 1,400 kakitangan di negara ini, termasuk 560 jurutera dan saintis.

 

Singapura, sebuah pusat perniagaan global bercukai rendah, telah meningkatkan usaha untuk memikat firma teknologi dan penyelidikan.

 

Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong berkata, ini adalah masa depan bagi syarikat teknologi - untuk pergi ke mana sahaja bakat tersedia dan dialu-alukan.

 

“Ia juga merupakan masa depan bagi Singapura – untuk mengalu-alukan syarikat dan bakat, yang boleh membantu menjadikan kami hab idea baharu dan kemajuan saintifik,” kata beliau pada majlis perasmian ibu pejabat tersebut pada 25 Mac lalu. 


 

dyson
Ibu pejabat global terbaru Dyson di Singapure.

 


Diasaskan oleh usahawan British Sir James Dyson pada 1990-an, syarikat itu menjadi terkenal dengan membangunkan produk yang direka dengan anggun daripada pengering tangan dan penulen udara kepada alat penjagaan rambut dan vakum.

 

Dyson, seorang bilionair penyokong Brexit, mengumumkan rancangan pada 2019 untuk memindahkan ibu pejabat syarikatnya ke Singapura agar lebih dekat dengan pasarannya yang paling pesat berkembang, mencetuskan tindak balas di negara sendiri.

 

Syarikat itu mempunyai operasi lain di Singapura, merangkumi hab kejuruteraan, kemudahan pembuatan motor dan kilang bateri baharu.

 

Asia Tenggara ialah pangkalan pengeluaran utama untuk Dyson dengan Malaysia dikira sebagai hab global kedua terbesarnya.

 

Tahun lepas, Dyson berpisah dengan pembekalnya ATA IMS Bhd berikutan audit terhadap amalan buruh dan dakwaan salah laku syarikat Malaysia oleh pemberi maklumat. ATA membuat bahagian untuk pembersih vakum dan pembersih udara Dyson. - DagangNews.com