Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Rakyat Malaysia dilihat lebih gemar melakukan transaksi menggunakan e-dompet (28.6%) dan kad debit (27.4%) khususnya sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perunding Pengalaman Pengguna Netizen eXperience (NX), Alvin Chai berkata, e-dompet dan kad debit menjadi pilihan pantas pengguna disebabkan oleh kaedah pembayaran tanpa sentuhan dan memudahkan.
"Hasil tinjauan juga mendapati penggunaan kaedah pembayaran tanpa tunai lebih banyak melibatkan mereka yang berumur antara 18 hingga 54 tahun berbanding dengan mereka yang berusia 55 tahun dan ke atas.
"Peralihan ini merupakan satu langkah tepat dengan perbankan digital berlesen yang menerima sambutan yang kian meluas di Malaysia," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Perkara itu dibuktikan melalui tinjauan yang dijalankan oleh syarikat Netizen eXperience ke atas lebih 1,000 rakyat Malaysia yang berusia antara 18 dan 65 tahun ke atas.
Hasil tinjauan tersebut juga menunjukkan masih ramai yang memilih menggunakan transaksi tunai (29.3%) terutamanya sebelum pelaksanaan PKP.
Pilihan tersebut dibuat kerana rakyat Malaysia bimbang terhadap aspek keselamatan dan privasi selain kerisauan perbelanjaan yang melebihi had menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai.
Dalam pembentangan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan Malaysia mengumumkan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) sedang menyiapkan kerangka pelesenan bank digital dan bank pusat bagi mengeluarkan sehingga lima lesen bank digital.
"Sebagai penyelidik pengalaman pengguna, kami melihat pemain perkhidmatan e-dompet Malaysia lebih memilih perbankan digital, tetapi bagi institusi kewangan yang lebih tradisional seperti bank dan syarikat insurans, mereka masih ragu-ragu.
"Perubahan mungkin sedikit sukar, namun NX mahu meyakinkan mereka bahawa kehadiran kami di sini bertujuan menjadikan kemajuan sebagai satu perkara yang lebih mudah, dalam masa sama tertumpu kepada pengguna," jelasnya lagi. - DagangNews.com