Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Feb. - Hanya dalam tempoh 24 jam sejak dilancarkan, seramai 5,240 rakyat Malaysia telah mendaftar dan mula memanfaatkan platform e-LATiH.
Untuk rekod, e-LATiH merupakan platform agregator kemahiran dan pengetahuan percuma terbesar dalam talian yang dilancarkan pada dua hari lalu oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pencapaian itu membuktikan bahawa rakyat Malaysia dapat menyesuaikan diri dan bersedia menerapkan teknologi dalam norma pembelajaran yang baharu.
“Saya berasa gembira kerana rakyat Malaysia telah merebut peluang ini dan memanfaatkan pengetahuan tersebut dengan baik.
“Saya telah mengarahkan PSMB untuk memperbanyakkan kandungan dan dimuat naik ke platform e-LATiH setiap minggu selain penambahan kandungan dibuat dalam Bahasa Malaysia dan bahasa lain pada akhir bulan ini.
“Ini bagi memastikan lebih daripada 1,000 kursus adalah tersedia untuk semua rakyat Malaysia secara percuma,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Kementeriannya menyasarkan 1 juta jumlah pengguna platform e-LATiH pada akhir Jun 2021 dan jumlah itu dijangka bertambah kepada 2 juta menjelang akhir tahun 2021.
Tambah Saravanan, menerusi platform e-LATiH, PSMB akan dapat memantau penggunaan serta mengetahui minat rakyat Malaysia terhadap jenis-jenis kursus latihan melalui carian kursus yang paling popular.
Ini membolehkan PSMB merancang dan menyediakan lebih banyak kursus yang mempunyai permintaan tinggi dan lebih bermanfaat buat rakyat Malaysia, ujarnya.
Difahamkan, PSMB juga akan menambah lebih banyak ciri-ciri lain termasuk menghubungkan platform e-LATiH ke laman web pekerjaan dan laman UpskillMalaysia yang diselaraskan oleh agensi itu dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Jelas Saravanan, PSMB juga akan membuka platform itu kepada penyedia latihan tempatan dan antarabangsa untuk menawarkan kursus berbayar pada kadar yang berpatutan secara dalam talian kepada semua rakyat Malaysia di bawah seksyen premium dalam masa yang terdekat ini.
Selain itu, PSMB sedang berusaha untuk memberikan sijil bertauliah berbentuk kelayakan mikro bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran atau menggunakan kelayakan berkenaan untuk mencari pekerjaan baharu.
“Saya berharap pengajaran dan pembelajaran menerusi platform yang dilancarkan ini akan menjadi lebih mudah untuk diakses oleh seluruh rakyat Malaysia di mana sahaja meraka berada.
“Adalah menjadi harapan saya juga agar rakyat Malaysia akan terus mempersiapkan diri untuk masa hadapan dengan memilih kursus bersesuaian,” tambahnya lanjut. - DagangNews.com