ECA Integrated sasar raih RM25.5 juta daripada terbitan IPO | DagangNews Skip to main content

ECA Integrated sasar raih RM25.5 juta daripada terbitan IPO

KUALA LUMPUR 4 Nov - ECA Integrated Solution Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 November 2022 dijangka meraih RM25.5 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

 

Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Ooi Chin Siew berkata, daripada hasil IPO sebanyak RM7.7 juta (30.2%) akan digunakan untuk pembelian jentera bagi menambah keupayaan teknikalnya dan untuk menampung pengeluaran yang lebih tinggi.

 

“Mesin canggih ini membolehkan penyelesaiannya boleh lebih disesuaikan agar menepati keperluan pelanggan dan mengendalikan kerja fabrikasi kompleks yang lebih besar.

 

“Sebanyak RM14.0 juta (54.9%) akan digunakan untuk modal kerja sebagai persediaan untuk mengambil lebih banyak kontrak dan baki RM3.8 juta (14.9%) digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan perbelanjaan penyenaraian,” katanya.

 

ECA Integrated terlibat dalam penyediaan sistem pengeluaran bersepadu dan peralatan automatik selain menyediakan perkhidmatan sokongan teknikal dan alat ganti selepas jualan.

 

Chin Siew berkata, sumber operasi dan tenaga kerja yang dipertingkatkan akan bertindak sebagai asas bagi kumpulan untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan sedia ada dan masa hadapan.

 

“Sehingga 5 Oktober 2022, jumlah tenaga kerja kami berjumlah 74 pekerja dan kami sedang mencari lebih ramai jurutera tempatan untuk pengembangan keluaran kami,” katanya.

 

Katanya, 53% daripada hasilnya untuk tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2021, diperoleh daripada pasaran luar negara termasuk Eropah Timur dan Barat, China, Singapura, Vietnam, Filipina dan Amerika Syarikat.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Operasi, Chua Lye Hock berkata, dipacu oleh transformasi digital dalam industri pembuatan, pengeluar di seluruh dunia mempercepatkan peralihan ke arah automasi untuk mencapai pengeluaran yang lebih tinggi pada masa yang sama mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja.

 

“Dengan rekod prestasi penyelesaian automasi tersuai kami yang diiktiraf, ECA Integrated hari ini mempunyai pelanggan yang terdiri daripada syarikat multinasional asing yang disenaraikan, antara lain, di New York Stock Exchange, Nasdaq dan Bursa Saham Frankfrut.

 

“Selepas penyenaraian, selain mengembangkan keupayaan dan kapasiti kami, kami sedang mengkaji untuk menawarkan penyelesaian kilang pintar, setelah kami menerima pertanyaan daripada pelanggan utama,” katanya.

 

IPO ECA Intergrated merangkumi terbitan awam sebanyak 150.0 juta saham baharu, mewakili 26 peratus daripada modal sahamnya yang diperbesarkan, serta tawaran untuk penjualan 48.0 juta saham sedia ada, mewakili 8.3 peratus daripada saham yang diperbesarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Daripada 150.0 juta saham baharu, 106.7 juta saham akan dikhaskan untuk pelabur terpilih melalui tawaran saham persendirian, 28.9 juta saham akan disediakan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian, 14.4 juta saham kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan itu.

 

UOB Kay Hian Securities ialah penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal untuk IPO. - DagangNews.com