EcoFirst, AmBank meterai kemudahan pembiayaan projek KL48 di Chan Sow Lin | DagangNews Skip to main content

EcoFirst, AmBank meterai kemudahan pembiayaan projek KL48 di Chan Sow Lin

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Mei - EcoFirst Consolidated Bhd mengumumkan pelancaran rasmi pembangunan KL48, yang merupakan pembangunan bersepadu untuk penduduk bandar, dan golongan belia profesional dengan kediaman sempurna di ibu kota.

 

Bersempena dengan pelancaran itu, EcoFirst menandatangani kemudahan pembiayaan projek berstatus pegangan bebas itu dengan AmBank untuk pembinaan KL48.

 

Dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1 bilion, KL48 terletak di atas tanah pegangan bebas seluas 4.18 ekar di Chan Sow Lin dan dijangka siap pada suku kedua 2027.

 

Projek ini meliputi 1,700 unit pangsapuri servis dengan susun atur antara 650 kaki persegi dan 850 kaki persegi, yang terdiri daripada dua menara bangunan 47 tingkat dan sembilan unit runcit, yang berharga daripada RM503,000, pada RM725 setiap kaki persegi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif EcoFirst, Datuk Tiong Kwing Hee berkata, ia merupakan bukti komitmen pihaknya untuk memberikan nilai yang luar biasa kepada pelanggan.

 

"Kami yakin projek ini akan menjana minat yang teguh dalam kalangan pembeli rumah dan menyuntik tenaga baharu dalam usaha meremajakan komuniti sekitar di Chan Sow Lin," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Tiong, kerjasama dengan AmBank mencerminkan keyakinan terhadap kekuatan serta potensi pertumbuhan EcoFirst daripada ukhuwah perbankan. 

 

 

eco

 

 

Katanya, kemudahan ini akan membantu dalam memenuhi keperluan kewangan dan membawa KL48 selangkah lebih dekat untuk menjadi pusat gaya hidup bagi bakal pembeli kediaman.

 

Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan Kumpulan AmBank, Christopher Yap pula berkata, di samping menyediakan pembiayaan pembangunan, pihaknya juga telah menyediakan pembiayaan akhir untuk projek tersebut.

 

 

eco

 

 

Katanya, AmBank juga sedang mengkaji untuk mengembangkan kemudahannya kepada rakan kongsi perniagaan EcoFirst termasuk kontraktor dan pembekal mereka. 

 

"Sebagai rakan kongsi pembiayaan utama mereka, kami berharap dapat menyediakan sokongan berterusan kepada kumpulan dalam fasa pertumbuhan mereka yang seterusnya," katanya. - DagangNews.com