EcoFirst Consolidated raih manfaat cadangan pembinaan MRT3 di Ampang | DagangNews Skip to main content

EcoFirst Consolidated raih manfaat cadangan pembinaan MRT3 di Ampang

Projek pembangunan bercampur Ampang Ukay milik EcoFirst.

KUALA LUMPUR 6 April Pemaju hartanah EcoFirst Consolidated Bhd bersedia melancarkan pelan induk yang diperbesarkan untuk perbandaran Ampang kini setelah simpanan tanahnya merupakan penerima manfaat daripada pembangunan Transit Aliran Massa Laluan 3 (MRT3).

 

Simpanan tanah EcoFirst di Ampang terletak kira-kira 300 meter sahaja dari stesen Hill View di bawah rancangan cadangan MRT3.

 

Menurut laporan berita sebelum ini, pelan awal MRT3 akan merangkumi 30 stesen, di mana 10 daripadanya adalah stesen pertukaran MRT, transit aliran ringan (LRT) dan laluan KTM Komuter.

 

Pada 4 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan bahawa pembinaan MRT3 telah diluluskan oleh kerajaan. Juga dikenali sebagai Laluan Lingkaran, Perdana Menteri berkata keutamaan MRT3 akan diberikan kepada kontraktor tempatan khususnya Bumiputera, bagi menjana peluang perniagaan dan pekerjaan.

 

Manfaat besar bank tanah EcoFirst ialah projek utamanya - pembangunan bercampur Ampang Ukay, yang merupakan projek tujuh fasa di atas tanah seluas 87 ekar yang terletak di Ukay Heights. Tanah ini telah dibeli sedekad yang lalu, dan sangat dekat dengan Stesen MRT Hill View yang akan dibina kelak.

 

EcoFirst adalah peserta hartanah bersaiz sederhana dengan bank tanah utama di Lembah Klang, terutamanya di Ampang, Sungai Besi, Shah Alam dan Damansara Damai.

 

Beberapa tahun kebelakangan ini, EcoFirst telah beralih tumpuannya untuk menjual rumah mampu milik kepada M40 atau kumpulan kelas pertengahan Malaysia berikutan permintaan dalam segmen ini.

 

Mengulas mengenai pelancaran semula MRT3, Pengarah Alternatif EcoFirst, Dato' Kenneth Teoh Seng Kian berkata, secara amnya, hartanah yang terletak berhampiran stesen MRT di Malaysia meningkat nilai susulan ia mudah untuk menghubungkan ke semua hab perniagaan dan hiburan utama di Greater Kuala Lumpur.


 

Dato' Kenneth Teoh Seng Kian
                          Dato' Kenneth Teoh Seng Kian

 


 “Kami amat berterima kasih atas pembangunan MRT3. Ini adalah pencetus perubahan untuk kami.

 

“Sebagai pemaju hartanah, kami juga akan memainkan peranan kami dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan merangsang ekonomi.

 

“Kami sedang menyemak semula pelan induk kami. Ia akan menjadi lebih komprehensif kerana kami berhasrat untuk mengubah Ampang menjadi sebuah perbandaran premium yang dicari dan berdikari sepenuhnya. Kami akan mengumumkan pelan induk ini pada suku kedua tahun ini,” tambah Kenneth.

 

Beliau mendedahkan pelan asal projek Ampang itu mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM4 bilion.

 

Mengenai perkembangan korporatnya baru-baru ini, EcoFirst telah menyaksikan kemunculan ahli perniagaan Datuk Michael Chooi Yoey Sun, yang memegang 5.16% kepentingan dalam syarikat itu pada bulan Januari.

 

Chooi terkenal sebagai pengasas bersama kilang kabinet dapur dan sistem almari pakaian Signature International Bhd. Beliau juga kini merupakan pemegang saham utama Scanwolf Corporation Bhd dengan 12.878% kepentingan.

 

Kaunter saham EcoFirst berada pada 46.5 sen Ketika artikel ini ditulis pukul 10.30 pagi Rabu dengan permodalan pasaran sebanyak RM547 juta.  – DagangNews.com