Pengarah Urusan Ecomate, Jason Koh Jian Hui (empat dari kiri) bersama Pengarah Eksekutif, Kong Cheng Huat (empat dari kanan) dan barisan Ahli Lembaga Pengarah Ecomate serta wakil M&A Securities dalam majlis penyenaraian IPO di Pasaran ACE, Bursa Malaysia pagi tadi.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Nov - Ecomate Holdings Bhd. yang membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pagi ini menyaksikan harga sahamnya dibuka pada 68 sen, iaitu 106.1% lebih tinggi berbanding harga tawaran, 33 sen sebelum ini.
Dengan premium 35 sen pada pembukaan dagangan, ia turut menyaksikan jumlah dagangan bagi syarikat pakar perabot siap dipasang yang berpangkalan di Muar itu diniagakan sebanyak 10.6 juta saham.
Pengarah Urusan Ecomate, Jason Koh Jian Hui berkata, prestasi pembukaan saham yang kukuh itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap model perniagaan prospek masa depan syarikat.
"Memandangkan kami memulakan perjalanan hari ini sebagai entiti tersenarai awam, kami pasti akan terus memberi nilai kepada semua pihak berkepentingan.
"Kini, dengan hasil yang diperoleh daripada langkah penyenaraian ini, kami teruja untuk memulakan fasa pertumbuhan seterusnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi tawaran awam permulaan (IPO) tersebut, Ecomate merancang untuk mengumpul sebanyak RM16.17 juta yang mana sebanyak RM6 juta akan digunakan untuk membeli peralatan dan mesin baharu.
Selebihnya, sebanyak RM2 juta pula digunakan untuk membiayai pembinaan kilang dan asrama baharu manakala RM5.27 juta akan diperuntukkan untuk membeli bahan mentah dan baki RM2.9 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.
M&A Securities Sdn. Bhd. ialah Penasihat, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk pelaksanaan IPO tersebut.
Mengenai perancangan syarikat, Jian Hui berkata, pihaknya kini merancang untuk menambah barisan pengeluaran baharu di Kilang A bagi meningkatkan kapasiti memandangkan ketika ini ia beroperasi dengan kadar penggunaan yang hampir penuh.
Katanya, syarikat juga akan membina kilang baharu ketiga, Kilang C, yang boleh menambah lagi 3 barisan pengeluaran baharu.
"Dengan mengambil kira kesemuanya, kami akan meningkatkan kapasiti kepada 316,800 unit atau 67% kepada 787,200 unit setahun daripada pengeluaran semasa sebanyak 470,400 unit setahun. Kilang C ini dijangka siap pada 2024," katanya.
Beliau juga optimis dengan prospek industri perabot pada masa depan memandangkan permintaan terhadap produk perabot disokong oleh beberapa faktor seperti ketegangan geopolitik yang berlaku antara Amerika Utara dan China yang secara tidak langsung mengalihkan banyak tempahan perabot ke Asia Tenggara. - DagangNews.com