EcoWorld, Baosteel Malaysia tandatangan perjanjian penjualan 16.32 ekar tanah EBP V | DagangNews Skip to main content

EcoWorld, Baosteel Malaysia tandatangan perjanjian penjualan 16.32 ekar tanah EBP V

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia) dan Baosteel Can Making (Malaysia) Sdn. Bhd. (Baosteel Malaysia) menandatangani perjanjian bagi projek Eco Business Park V (EBP V).

Majlis tandatangan yang dijalankan secara maya itu menyaksikan Baosteel Malaysia akan membeli 16.32 ekar tanah industri di EBP V dengan nilai RM53.3 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Malaysia, Datuk Chang Khim Wah berkata, keputusan Baosteel Malaysia untuk membangunkan kilang pembuatan di EBP V akan menjadikan kawasan tersebut sebagai salah satu tapak perindustrian yang terbaik. 

“Kami gembira apabila Baosteel Malaysia telah memilih EBP V sebagai kawasan kemudahan pembuatan baharunya di Malaysia.

“Keputusan Baosteel Malaysia untuk membangunkan perniagaan di kawasan ini akan menyumbang kepada usaha kami untuk menjadikan EBP V sebagai salah satu tapak perindustrian terbaik di negara dan menawarkan peluang pekerjaan yang berkualiti kepada rakyat Selangor,” kata beliau menerusi satu kenyataan. 

Baosteel Malaysia dimiliki oleh syarikat tersenarai dalam saham Shanghai, Shanghai Baosteel Packaging Co Ltd dan anak syarikat China Baowu Steel Group Corporation Ltd (Baowu).

Baowu merupakan syarikat perintis pelaburan modal milik negara dengan modal RMB52.79 bilion dan skala aset melebihi RMB860 bilion.

Sementara itu, Pengarah Baosteel Malaysia, Zhu Wei Lai berkata, kolaborasi antara Baosteel dan EcoWorld menandakan satu lagi pelaburan syarikat di Asia Tenggara dan berharap dapat menjalin kerjasama lebih lanjut dengan EcoWorld dalam lebih banyak bidang,” katanya. 

Sementara itu, susulan pengumuman insentif Penjana bagi pelaburan langsung asing (FDI) yang bertujuan menempatkan semula kemudahan pembuatan mereka di Malaysia, pihaknya menerima pelbagai pertanyaan dari pemain industri luar negara. 

“Pengecualian cukai untuk 10 hingga 15 tahun bagi pengeluar asing yang bersedia melabur antara RM300 juta hingga RM500 juta, atau melebihi RM500 juta masing-masing, telah mendorong minat baharu di Malaysia sebagai destinasi berpotensi untuk FDI. 

“Ditambah dengan janji kelulusan lesen pembuatan yang cepat dalam masa dua hari bekerja untuk industri yang tidak sensitif, ini pasti akan menghantar mesej yang tepat bahawa Malaysia sangat terbuka untuk perniagaan,” katanya.

Tambah Chang, beliau yakin prospek FDI bagi tapak perniagaan terutamanya EBP V.

“Kami yakin setelah sempadan dibuka semua dan perjalanan perniagaan dapat berjalan seperti biasa dengan negara-negara lain yang melaksanakan langkah sama mengekang COVID-19, kita akan dapat menyaksikan lebih banyak FDI ke dalam EBP V dan tapak lain di Iskandar Malaysia,” kata beliau. - DagangNews.com