EcoWorld Malaysia beli tanah seluas 97.2 hektar berharga RM450.13 juta di Pulai, Johor Bahru | DagangNews Skip to main content

EcoWorld Malaysia beli tanah seluas 97.2 hektar berharga RM450.13 juta di Pulai, Johor Bahru

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jan - Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia) menerusi Eco Botanic 3 Sdn. Bhd. memeterai perjanjian bagi membeli tanah seluas kira-kira 97.2 hektar di Pulai, Johor Bahru berharga RM450.13 juta dan membangunkannya menjadi perojek pembangunan bercampur.

 

Kumpulan itu berkata, pihaknya menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan River Retreat bagi pembelian 13 petak tanah pegangan bebas.

 

Pada masa sama, EcoWorld turut menandatangani perjanjian pembangunan bersyarat dengan Permodalan Darul Ta’zim Sdn. Bhd. (PDT) dengan PDT akan mencalonkan Eco Botanic 3 bagi membeli dan membangunkan tanah itu.

 

Menurut kumpulan itu, tanah milik River Retreat Sdn. Bhd. itu terletak bersebelahan dengan perbandaran Eco Botanic dan Eco Botanic 2.

"Tanah itu dicadangkan untuk pembangunan perbandaran kediaman dan komersial bercampur yang sesuai untuk pembeli rumah kali pertama dan kumpulan M40 yang dikenali sebagai Eco Botanic 3," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Tanah yang terletak secara strategik bersebelahan dengan Eco Botanic dan Eco Botanic 2 membolehkan EcoWorld Malaysia terus menyumbang ke arah momentum pertumbuhan negeri itu.

 

Melalui struktur pembangunan bersama PDT dan dengan sokongan daripada River Retreat, Eco Botanic 2 telah dilancarkan pada awal 2021.

Komponen utama Eco Botanic 2 terdiri daripada produk yang agak bersesuaian untuk pembeli rumah kali pertama dan kumpulan sasaran M40.

 

EcoWorld Malaysia berkata, pihaknya akan membayar PDT RM30 juta sebagai yuran pencalonan, yang dijangka dibiayai secara dalaman dan daripada tunai yang dijana daripada pembangunan yang dicadangkan.

Kumpulan itu juga akan membayar PDT sejumlah 20% daripada keuntungan selepas cukai Eco Botanic 3 daripada setiap fasa pembangunan yang dicadangkan, yang akan dibayar dalam tempoh tiga bulan selepas pengauditan akaun akhir setiap fasa. - DagangNews.com