EcoWorld Malaysia mula tahun 2023 dengan jualan yang baik bernilai RM1.35 bilion, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

EcoWorld Malaysia mula tahun 2023 dengan jualan yang baik bernilai RM1.35 bilion, kata Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mac - Keuntungan Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia) pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) adalah sejajar dengan jangkaan namun jualan hartanahnya melebihi sasaran, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Semalam, untung bersih EcoWorld Malaysia dilaporkan menyusut 10% kepada RM57 juta bagi 1QFY23 berbanding RM63.3 juta bagi suku sama tahun lalu.

 

Namun jualan hartanah menjangkaui sasaran, menurut firma penyelidikan itu, jualan pada empat bulan pertama tahun ini berjumlah RM1.35 bilion menyumbang 38% daripada sasaran jualan sebanyak RM3.5 bilion untuk tahun kewangan 2023 (FY23).

 

Prestasi jualan yang baik didorong oleh produk perindustrian yang merangkumi 46% daripada jumlah tersebut termasuk penjualan tanah perindustrian 92 hektar pada RM70 hingga 80 setiap kaki persegi di Eco Business Park II di Iskandar Malaysia kepada Hatian Group, pengilang peralatan industri dari China, kata firma tersebut dalam nota hari ini.

 

Tambahnya, pada akhir Januari 2023, jualan tidak dibilkan iaitu projek Malaysia adalah RM3.96 bilion atau 1.3x daripada pendapatan FY23 firma.

 

Kumpulan itu juga sedang giat mencari bank tanah baharu di Lembah Klang, disokong kunci kira-kira yang sihat dengan penggearan bersih 0.33x pada akhir 1QFY23 daripada 0.31x pada Oktober 2022.

 

Menurut firma itu, untung bersih 1QFY23 sebanyak RM56.6 juta, tidak termasuk RM400,000, telah mencakupi anggaran FY23 MIBG dan konsensus masing-masing pada 21% dan 23%.

 

“Kelemahan suku ke suku (QoQ) dalam pendapatan 1QFY23 terutamanya disebabkan faktor bermusim, namun margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) 1QFY23 bertambah baik sebanyak 5.7 mata peratusan (ppt) tahun ke tahun (YoY) dan 2.7ppt QoQ kepada 20.3% berikutan penjimatan kos yang direalisasikan pada fasa yang telah siap,” jelasnya.

 

Maybank IB meningkatkan sedikit ramalan pendapatan FY23, 24 dan 25 masing-masing pada 0.9%, 0.8% dan 1%.

 

Ramalan itu mengambil kira unjuran kerugian Eco World International yang lebih rendah masing-masing sebanyak 33%, 25% dan 37%.

 

Potensi pengagihan khas 37.5 sen sesaham daripada Eco World International akan mengukuhkan lagi kunci kira-kira Eco World Development, memberikan lebih banyak ruang kewangan untuk memperoleh tanah.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 81 sen sesaham. -DagangNews.com