Edaran terima kontrak bernilai RM89.88 juta selenggara aplikasi Sistem Maklumat Kastam dan MySST | DagangNews Skip to main content

Edaran terima kontrak bernilai RM89.88 juta selenggara aplikasi Sistem Maklumat Kastam dan MySST

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Nov - Edaran Berhad menerusi Edaran IT Services Sdn. Bhd. menerima kontrak bernilai RM89.88 juta daripada Kementerian Kewangan bagi menyelenggara perkakasan, perisian, rangkaian, integrasi dan aplikasi Sistem Maklumat Kastam (SMK) dan MySST (2023-2027) bagi Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

 

Kumpulan itu menerima Surat Anugerah (LOA) bertarikh 30 Oktober 2023 bagi kontrak tersebut pada 6 November 2023.

 

Tarikh mula kontrak itu ialah 1 September 2023 bagi tempoh 48 bulan.

 

"Hasil daripada kontrak itu akan menyumbang kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 hingga 30 Jun 2027.

 

"Tiada risiko yang ketara berhubung dengan kontrak itu," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, tiada pengarah dan pemegang saham utama Edaran dan Edaran IT mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam Kontrak.

 

Setakat yang diketahui oleh para pengarah dan pemegang saham utama, tiada orang yang mempunyai kaitan dengan itu mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak berkenaan. - DagangNews.com