Edelteq, Halo Technologies cadang kerjasama perniagaan semikonduktor, penjualan Sistem Pemeriksaan Optik Automatik Substrat | DagangNews Skip to main content

Edelteq, Halo Technologies cadang kerjasama perniagaan semikonduktor, penjualan Sistem Pemeriksaan Optik Automatik Substrat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jan - Edelteq Holdings Berhad memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Halo Technologies Sdn. Bhd. bagi cadangan kerjasama (JV) bagi penubuhan perniagaan yang terlibat dengan reka bentuk semikonduktor, pembuatan dan penjualan Sistem Pemeriksaan Optik Automatik Substrat (AOI).

 

Kumpulan itu berkata, MOU itu merupakan satu lagi usaha kumpulan bagi mewujudkan sinergi dengan Halo Technologies yang mempunyai pengkhususan dalam kerja penyelidikan dan pembangunan termasuk mereka bentuk, pembangunan serta penjualan sistem pemeriksaan optik menggunakan teknologi kecerdasan buatan.

 

"Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan dapat memanfaatkan kepakaran, keupayaan dan rangkaian masing-masing untuk meningkatkan lagi perniagaan kumpulan dalam segmen peralatan dan automasi.

 

"Lembaga pengarah yakin bahawa MOU itu akan menjana manfaat sinergi  kepada kumpulan pada masa hadapan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kerjasama itu termasuk perjanjian tetapi tidak terhad kepada kontrak komersial dan kedua-dua pihak perlu melakukan perjanjian muktamad dalam tempoh 180 hari dari tarikh MoU.

 

Katanya, bermula dari tarikh MoU sehingga pelaksanaan perjanjian muktamad atau sehingga tamat tempoh MoU, kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak lain berhubung dengan kerjasama tersebut.

 

"MOU itu tidak bertujuan untuk mengikat kedua-dua pihak secara sah tetapi sekadar menyatakan niat dan persefahaman bagi mewujudkan kerjasama," katanya.

 

Memorandum itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan dan pendapatan sesaham (EPS) Edelteq bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024. - DagangNews.com