KUALA LUMPUR 4 Feb - EdgePoint Infrastructure (EdgePoint) melantik Daragh O’Neill sebagai Ketua Pegawai Kewangannya yang baharu.
Daragh berpengalaman lebih 26 tahun dalam bidang perakaunan dan kewangan memiliki pengetahuan mendalam berkaitan industri telekomunikasi.
Pengalaman beliau akan memainkan peranan penting dalam merancang dan melaksanakan strategi kewangan EdgePoint selaras dengan pengembangan syarikat itu di rantau ini.
Daragh berkata, beliau tidak sabar menyertai pasukan yang telah mencapai kejayaan cemerlang dalam membina sebuah syarikat infrastruktur telekomunikasi paling pesat membangun di rantau ini.
“Saya gembira dapat kembali berkhidmat dalam bidang telekomunikasi di Asia Tenggara, di mana pelancaran perkhidmatan 4G dan 5G bakal mengubah industri telekomunikasi di rantau ini.
"Peranan EdgePoint dalam membina infrastruktur yang diperlukan penyedia komunikasi dan membolehkan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) untuk terus memberi tumpuan terhadap perkhidmatan mereka, sememangnya penting bagi memacu perubahan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif EdgePoint, Suresh Sidhu berkata syarikat mengalu-alukan penyertaan Daragh.
“Daragh sudah tentu akan membantu kami mencapai matlamat menjadi syarikat infrastruktur telekomunikasi bebas terkemuka di Asia Pasifik bagi era 5G ini, dengan menyumbang pengalaman luasnya dalam pasaran baru di seluruh Asia dan Caribbean kepada usaha kami.
"Kami sedia memanfaatkan sumbangan buah fikiran dan bimbingan daripada Daragh, sekali gus terus memacu perkembangan dan pelaksanaan strategi kami,” katanya.
Sebelum menyertai EdgePoint, Daragh memainkan peranan penting di Digicel Group, di mana beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Digicel Group serta pelbagai jawatan lain sebagai Ketua Pegawai Kewangan Serantau yang bertanggungjawab ke atas pasaran Asia Pasifik, Caribbean dan Amerika Tengah.
Antara jawatan utama lain yang pernah dipegangnya, termasuk Ketua Pegawai Kewangan Ooredoo Myanmar dan 11 tahun sebagai Pengawal Kewangan Serantau SIG Ireland.
Daragh memgang Ijazah Sarjana dan Sarjana Muda Perakaunan dari University College Dublin. - DagangNews.com