KUALA LUMPUR 11 Jan - Para pengunjung The Exchange TRX menikmati sambungan mudah alih yang dipertingkatkan, hasil daripada infrastruktur generasi terbaharu 5G, yang disediakan EdgePoint Towers Sdn Bhd, syarikat infrastruktur telekomunikasi bebas kedua terbesar di Malaysia.
Edgepoint berkata, sejak pembukaan pusat beli-belah tersebut pada November 2023, para pengunjung menikmati sambungan mudah alih berkelajuan tinggi yang dibolehkan infrastruktur liputan dalam bangunan (IBC) sedia 5G yang digunakan Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO) terkemuka Malaysia dari hari pertama lagi.
Katanya, infrastruktur di The Exchange TRX, yang dipasang dalam masa empat bulan itu, membolehkan The Exchange TRX untuk menyediakan sambungan mudah alih yang dipertingkatkan berserta kapasiti lebih besar untuk para pelanggan.
"Keseluruhan pusat beli-belah itu, seluas 1,300,000 kaki persegi dan merangkumi lebih dari 400 jenis kedai dan perkhidmatan, menikmati sambungan yang lebih laju dan lancar," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EdgePoint Towers, Muniff Kamaruddin berkata, pihaknya berbesar hati sebagai rakan penyedia teknologi untuk TRX City Sdn Bhd dan Lendlease, dengan pemasangan IBC di seluruh The Exchange TRX.
Katanya, dengan infrastruktur generasi terbaharu yang sedia 5G, dan juga perkhidmatan diberikan MNO di Malaysia, The Exchange TRX kini bersedia untuk memberikan sambungan yang laju dan lancar untuk para pengunjung.
"Kami faham ketersambungan adalah penting untuk menyediakan pengalaman membeli-belah yang terbaik, terutamanya apabila semakin ramai rakyat Malaysia kini menggunakan perkhidmatan bayaran tanpa tunai.
"Kerjasama strategik ini melambangkan peristiwa yang penting sepanjang perjalanan kami untuk menghubungkan rakyat Malaysia dengan lancar dan menyokong aspirasi ketersambungan negara," katanya.
Pengarah Projek The Exchange TRX dan Ketua Peruncitan Lendlease Malaysia, Mitch Wilson pula berkata, kerjasama dengan EdgePoint sebagai rakan teknologi membolehkan sambungan yang luas, laju dan lancar di dalam pusat beli-belah tersebut.
"EdgePoint menarik perhatian kami sebagai rakan kongsi yang berkebolehan melalui infrastruktur IBC dan kesediaan operasi mereka, di samping visi bersama untuk mewujudkan destinasi gaya hidup dengan sambungan dengan baik dan kondusif untuk pengunjung kami," katanya. - DagangNews.com