Oleh NABILA YASMIN RAZIB
KUALA LUMPUR 21 Sept. - Asian Institue of Chartered Bankers (AICB) mengumumkan pelantikan Edward Ling Hsiao Wee sebagai Ketua Eksekutif baharu berkuatkuasa 20 September 2021.
Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim berkata, Edward merupakan individu berpengalaman dalam sektor kewangan dan telah berkhidmat di ACCA lebih dari 11 tahun.
“Kami amat berbesar hati untuk mengalu-alukan Edward sebagai Ketua Eksekutif AICB yang baharu.
“Pengetahuan dan pengalaman luas dalam pembangunan profesional dan bidang kewangan serta menerajui portfolio tempatan dan serantau telah meletakkan beliau untuk memimpin Institut dan membantu kami memenuhi keperluan ahli-ahli dan industri perbankan dalam tempoh transformasi yang pesat ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Edward berkhidmat sebagai Ketua Portfolio Serantau — Maritim Asia Tenggara untuk ACCA, selepas menjawat jawatan Ketua Negara ACCA Malaysia selama empat tahun dan pelbagai jawatan dalam persatuan sejak sedekad yang lalu.
Sementara itu Edward berkata, pendigitalan telah mengubah landsakap industri perbankan dan menghasilkan lebih banyak cabaran baharu yang menekankan kepentingan transformasi tenaga kerja.
“Adalah penting bagi industri untuk mengoptimumkan teknologi dan meningkatkan kemahiran serta menambah kakitangan mereka untuk mengikuti revolusi. Saya teruja untuk menyertai AICB dan berharap dapat menyumbang untuk meningkatkan standard profesional dalam industri perbankan dan memastikan ahli kami dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran profesional untuk berada selari dengan masa depan perbankan,” katanya. -DagangNews.com