KUALA TERENGGANU 23 Dis - Noor Arfa Craft Complex (NACC) Batik Pavillion menyasarkan jualan sebanyak RM500,000 sepanjang penganjuran Malaysia Year End Sales (MYES) 2024 yang berlangsung sepanjang Disember ini.
Pengarah Urusannya, Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin berkata, program tersebut diadakan dengan kerjasama Tourism Malaysia untuk meningkatkan jualan produk berasaskan batik di premis tersebut.
Menurutnya, NACC Batik Pavillion terpanggil untuk menyertai kempen MYES 2024 kerana yakin kolaborasi dengan Tourism Malaysia akan meningkatkan jumlah pengunjung dan jualan batik di Terengganu.
"MYES 2024 berlangsung pada Monsun Timur Laut yang sering dikaitkan dengan banjir di negeri-negeri Pantai Timur.
"Namun, kami mengambil peluang ini untuk menyertai MYES kerana optimis promosi yang dilakukan Tourism Malaysia akan menjadi tarikan kepada pelancong dari luar Terengganu kerana ia juga berlangsung pada musim cuti sekolah.
"Alhamdulillah, sejak 1 Disember lalu, pengunjung memang meningkat hampir 50 peratus berbanding hari-hari biasa di NACC Batik Pavillion," katanya kepada DagangNews.com hari ini.
Hanya dua premis perniagaan terlibat dengan penganjuran MYES 2024 di Terengganu kali ini iaitu NACC Batik Pavillion dan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Mall.
Wan Mohd Hafiz berkata, NACC Batik Pavillion adalah destinasi wajib singgah pelancong kerana ia turut menghimpunkan lebih 70 jenama batik dari Pantai Timur untuk membantu usahawan lain memperkenalkan produk keluaran mereka.
"Ini adalah inisiatif kami untuk terus memperkasakan batik sebagai tarikan utama pelancong ke Pantai Timur yang menjadi sebahagian warisan dan budaya penduduknya sejak lama dahulu.
"Antara jenama lain yang turut berada di NACC Batik Pavillion ialah Hijera Clothing, Seem Noor Batik, Razani Batik, Natural Batik Village, Nie Batik & Craft dan Azira Hand Crafted," katanya.
Tambahnya, sepanjang MYES 2024 berlangsung pula, pelbagai hadiah istimewa turut ditawarkan kepada pelanggan yang membuat pembelian lebih RM50 dalam satu resit.
"Kami menyediakan hadiah cabutan bertuah bernilai RM10,000 untuk pengunjung yang membuat pembelian di NACC Batik Pavillion.
"Setiap hari juga kami ada membuat jualan tengah malam dan 'happy hour' yang memberi peluang kepada pengunjung membeli batik serendah RM5 dan baju kurung batik hanya RM20 sepasang.
"Semua produk ini adalah rekaan baharu yang menjadi produk terlaris di NACC Batik Pavillion ketika ini dan kami berharap lebih ramai pengunjung akan datang untuk menikmati pelbagai diskaun menarik yang kami sediakan," katanya. - DagangNews.com