EFKON Asia dakwa penggunaan SmartTAG lebih pantas berbanding RFID | DagangNews Skip to main content

EFKON Asia dakwa penggunaan SmartTAG lebih pantas berbanding RFID

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Dis - EFKON Asia Sdn. Bhd. mendakwa sistem kutipan tol Infra Merah (IR) yang menggunakan kad Touch ‘n Go (TnG) dan peranti SmartTAG mampu melakukan pembayaran lebih cepat berbanding sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
 

Pengarah EFKON Asia, Helmuth Blasch berkata, sistem SmartTAG yang digunakan beroperasi dalam jalur 400THz dan dapat memindahkan data 10,000 kali lebih cepat daripada RFID. 

 

"SmartTAG kami mematuhi piawaian DSRC (Dedicated Short-Range Communication) dan diperakui ECE R10. 

 

"Memandangkan setiap peranti dikuasakan bateri, setiap unit aktif dengan masa bangun hanya dua milisaat berbanding RFID pasif 45 milisaat," katanya.

 

Berdasarkan maklum balas orang ramai terhadap pengumuman Kementerian Kerja Raya (KKR), kebanyakan pengguna lebuh raya jelas lebih mengutamakan kemudahan unggul, kebolehpercayaan yang terbukti dan pengalaman pengguna yang lebih baik yang diberikan oleh sistem IR digunakan sejak 2005.

 

Blasch percaya, penggunaan SmartTAG mampu mempercepatkan pelaksanaan sistem aliran bebas trafik berbilang lorong dan membantu mengurangkan kesesakan di plaza tol.

 

Beliau percaya bahawa pihak berkuasa dan syarikat konsesi lebuh raya harus melihat kepada usaha menambah dan bukannya mengurangkan lorong SmartTAG jika objektifnya adalah untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol.
      

 

tag
                                              Helmuth Blasch

 

Katanya, sehingga Sptember 2021, dianggarkan 75% daripada 270,000 kenderaan yang didaftarkan dilengkapi dengan kemudahan peranti mudah alih yang serasi dengan SmartTAG. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Transaksi guna RFID di seluruh lebuh raya Pantai Barat mulai 15 Januari 2021

 

tag
Sistem kutipan tol tanpa palang di Norway yang menggunakan sistem IR.

 

“Ini merupakan petunjuk jelas bahawa sistem IR dipercayai oleh pengeluar kenderaan dan membuktikan nilainya sebagai sistem yang cekap, mudah dan menjimatkan kos.

 

tag

 

"Sistem berkenaan lebih ideal dan jauh lebih maju untuk mencapai objektif lebuh raya bebas kesesakan yang digariskan dalam Pelan Tindakan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS)," katanya. - DagangNews.com