EGN kini berkembang ke Malaysia, hubungkan rangkaian eksekutif berkongsi cabaran kerja | DagangNews Skip to main content

EGN kini berkembang ke Malaysia, hubungkan rangkaian eksekutif berkongsi cabaran kerja

Dona Amelia
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Sept - Rangkaian Global Eksekutif (EGN), sebuah rangkaian ahli eksekutif berasaskan rakan sebaya kini berkembang ke Malaysia untuk menghubungkan orang ramai peluang berkongsi, bertukar ilmu, pengalaman dan kepakaran.

 

Pengasas Bersama EGN Malaysia, Dona Amelia berkata, mereka berbesar hati untuk mengumumkan pembukaan pejabat di Malaysia dan menyediakan akses buat pemimpin perniagaan di sini kepada forum yang dipercayai.

 

"Ia membolehkan para ahli membantu antara satu sama lain untuk menghadapi cabaran, menyelesaikan masalah dan mengenal pasti peluang.

 

"Selain itu, kami tidak membenarkan aktiviti penjualan dalam mana-mana sesi. Aktiviti-aktiviti kami tertumpu hanya kepada perkongsian ilmu dan kerjasama semata-mata. 

 

"Bagaimanapun, atas kepercayaan dalam kalangan ahli, urus niaga mungkin berlaku antara mereka jika difikirkan sesuai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Rangkaian rakan sebaya membantu para pemimpin untuk memupuk minda pertumbuhan dengan membuka diri untuk mempelajari perkara baharu dan membenarkan mereka membawa perspektif baharu tersebut ke tempat kerja untuk memupuk budaya pertumbuhan yang lebih baik dalam syarikat.

 

Ahli-ahli EGN dapat mengenali komuniti yang semakin berkembang, yang menampilkan enam pertemuan tahunan berkumpulan sebaya secara bersemuka, 12 acara bersilang fungsi bersemuka, 24 mesyuarat bersilang fungsi maya dan empat acara rangkaian. 

 

 

egn
Nick Jonsson

 

 

Selain itu, setiap kumpulan rakan sebaya dikumpulkan oleh perunding rangkaian berpengalaman EGN untuk memastikan mereka sepadan dengan tahap ahli dan disiplin profesional.

 

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan EGN Malaysia, Nick Jonsson pula berkata, ramai yang tidak memahami bagaimana kepimpinan sentiasa merupakan satu proses pembelajaran dan pemegang jawatan tertinggi juga masih mempunyai keperluan untuk belajar dan mendapatkan pendapat pakar serta membincangkan penyelesaian yang mungkin.

 

"Bagaimanapun, tidak selalunya mudah bagi eksekutif kanan untuk mencari pasangan dalam berkongsi pemahaman, justeru mendorong keperluan platform rangkaian rakan sebaya yang memudahkan pertukaran pengetahuan dan idea untuk pemegang jawatan pengurusan tertinggi," katanya. - DagangNews.com