KUALA LUMPUR 20 Ogos – Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) menyangkal tanggapan bahawa nilai hartanah cenderung kepada separuh harga seperti yang disiarkan sebuah portal berita dalam talian menerusi laporan bertajuk 'Houses at half-price, anyone?'.
Presidennya, Chan Ai Cheng berkata, dua hartanah yang disebutkan dalam laporan itu adalah kes terpencil dan tidak wajar digunakan sebagai pengukur untuk menunjukkan situasi itu turut berlaku di seluruh negara.
"Majoriti pemaju sememangnya menawarkan potongan harga namun ia tidak keterlaluan seperti yang dilaporkan.
‘’Tinjauan yang dijalankan MIEA baru-baru ini, membabitkan pengamal hartanah yang berada di lapangan dan amat memahami situasi yang berlaku, menunjukkan tiada bukti seperti itu," katanya dalam satu kenyataan, lapor Bernama.
Beliau berkata, pemaju tidak berhasrat untuk menyemak harga jualan mereka memandangkan permintaan yang kukuh, khususnya di lokasi maju dan di perbandaran terancang baharu. – DagangNews.com