BEIJING 13 Okt. - Import China melonjak pada September tahun ini manakala eksport pula semakin mengukuh apabila rakan dagangan mula menarik balik sekatan bagi mengekang pandemik COVID-19 sekali gus merangsang pertumbuhan negara kedua ekonomi terbesar dunia itu.
Menurut Reuters, data menunjukkan eksport pada September berkembang 9.9% berbanding tahun sebelumnya sejajar dengan jangkaan penganalisis pada 9.5%, Ogos lalu.
Ahli Ekonomi Kanan China Capital Economics, Julian Evans-Pritchard berkata, peningkatan dalam import menggambarkan pelaburan domestik yang kekal kukuh manakala eksport pula didorong oleh kekuatan jualan runcit dalam kalangan rakan dagang China.
Dalam masa sama, aktiviti perkilangan China juga menunjukkan peningkatan apabila dagangan antarabangsa dibuka secara berperingkat.
Import kembali meningkat 13.2% berbanding 2.1% pada Ogos, lebih kukuh daripada jangkaan awal dengan pertumbuhan 0.3%.
Ketua Ekonomi Zhongyuan Bank, Wang Jun berkata, data juga menunjukkan sokongan kerajaan terhadap ekonomi semakin meningkat memandangkan wabak itu semakin terkawal.
"Ini secara tidak langsung merangsang permintaan domestik terutama permintaan yang didorong oleh pelaburan sekali gus melonjakkan import.
"Malah, mata wang yuan juga semakin mengukuh dan memberi kesan yang baik kepada import dan kuasa pengguna," katanya.
Kenaikan import mendorong lebihan dagangan pada September menurun kepada AS$37 bilion (RM153.7 bilion) berbanding AS$58.93 bilion (RM244.71 bilion) pada Ogos, lebih rendah berbanding unjuran AS$58 bilion (RM240.84 bilion). - DagangNews.com